Sebahagian pil Methampetamine yang dirampas pihak Kastam selepas menahan lelaki warga Thailand di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Feri Langkawi pada 6 Mac lalu. FOTO IHSAN JKDM
Sebahagian pil Methampetamine yang dirampas pihak Kastam selepas menahan lelaki warga Thailand di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Feri Langkawi pada 6 Mac lalu. FOTO IHSAN JKDM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Lelaki warga Thailand ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana membawa bersamanya sebanyak 14,000 pil dipercayai jenis methampetamine di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Feri Langkawi pada 6 Mac lalu.

Pengarah JKDM Kedah Nor Izah Abd Latiff berkata, lelaki itu ditahan Cawangan Penguatkuasaan Narkotik Langkawi, JKDM Kedah berdasarkan maklumat yang diterima.

Menurutnya, penahanan lelaki berusia 42 tahun itu dilakukan sebaik dia dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika tiba di terminal berkenaan pada 2.30 petang.

"Hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan warna biru, mengandungi 11,600 biji pil dipercayai jenis methamphetamine.

"Dadah ini dianggarkan seberat 1,102 gram dan lelaki itu kemudiannya dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Langkawi untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Izah berkata, pemeriksaan rapi terhadap suspek menemukan lagi sebagai 2,400 biji pil dipercayai jenis yang sama iaitu seberat 228 gram dalam beg pinggang suspek.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan tangkapan adalah sebanyak 14,000 biji pil Methamphetamine seberat 1,330 gram dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM210,000.

"Suspek menggunakan modus operandi melalui kawasan pemeriksaan kastam tanpa bagasi dalam cubaan mengaburi pihak berkuasa.

"Suspek beranggapan dengan hanya membawa bungkusan barangan untuk kegunaan sendiri secara 'hand carry', tidak akan diperiksa oleh pihak Kastam dan akan mendapat pelepasan terus di pintu masuk negara," katanya.

Katanya lagi, berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan ini berjaya membanteras daripada diedarkan kepada 14,000 orang penagih dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing juga dilakukan dan suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 13 Mac ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah berbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 1:04 PM