BORIS Johnson. FOTO AFP/Unit Rakaman Parlimen Britain (PRU)
BORIS Johnson. FOTO AFP/Unit Rakaman Parlimen Britain (PRU)
AFP

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dilaporkan enggan menandatangani surat yang dihantarnya kepada Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk, bagi memohon penangguhan Brexit yang ditetapkan 31 Oktober ini.

Ia susulan anggota Dewan Rakyat tidak bersetuju dengan pindaan perjanjian keluar dari Kesatuan Eropah (EU) yang dikemukakannya.

Surat tanpa tandatangan itu dibuat menurut undang-undang sekiranya dia memohon penangguhan.

Namun, pemimpin Konservatif itu turut menghantar sepucuk lagi surat yang mempunyai tandatangannya menegaskan dia tidak mahu menangguhkan tarikh akhir Brexit, yang sudah ditangguhkannya dua kali.

“Malangnya, parlimen melepaskan peluang untuk mempercepatkan proses pengesahan.

“Permohonan untuk melanjutkannya (tarikh akhir) akan menjejaskan kepentingan United Kingdom dan rakan kongsi kita dalam EU serta hubungan antara kita.

“Kami mesti memastikan proses ini (Brexit) berakhir,” katanya dalam surat berkenaan dan turut berasa kesal kerana pemimpin EU terpaksa menghabiskan lebih banyak masa dengan isu Brexit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 12:45 PM