PELURU berpandu senjata kelas Pukguksong dilepaskan Korea Utara. -Foto Yonhap
PELURU berpandu senjata kelas Pukguksong dilepaskan Korea Utara. -Foto Yonhap
Reuters

SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik dipercayai dari kapal selam di luar pantai timur negara berkenaan hari ini.

Pelancaran itu berlaku sehari selepas Korea Utara mengumumkan meneruskan perundingan dengan Amerika Syarikat bagi menamatkan program nuklearnya.

Tentera Korea Selatan mengesan pelancaran satu peluru berpandu yang terbang sejauh 450 kilometer dan mencapai altitud 910 kilometer.

Peluru berpandu itu dipercayai senjata kelas Pukguksong berikutan kapal selam Korea Utara pernah menguji peluru berpandu balistik yang masih dibangunkan.

Sementara, CNN memetik kenyataan seorang pegawai Amerika Syarikat yang berkata, peluru berpandu itu dilancarkan dari tapak di dalam laut.

Negara itu pernah membuat pelancaran sama di peringkat awal program peluru berpandu balistik kapal selam pada 2015.

Sekiranya disahkan, pelancaran terbabit menjadi ujian paling provokatif Korea Utara sejak negara itu memulakan rundingan dengan Amerika Syarikat pada tahun lalu.

Pakar analisis berkata, pelancaran itu mungkin peringatan oleh Pyongyang mengenai keupayaan senjatanya ketika negara berkenaan bersiap sedia untuk mengadakan perbincangan baru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 6:40 PM