BORIS JOHNSON
BORIS JOHNSON
Reuters

London: Dewan rendah Parlimen, House of Commons, akan bersidang esok selepas Mahkamah Agung sebulat suara memutuskan penggantungannya oleh Perdana Menteri Boris Johnson adalah tidak sah.

Speaker, John Bercow berkata: “Saya sudah mengarahkan pihak berkuasa Dewan bersedia untuk persidangan House of Commons diteruskan.

“Secara khusus tindakan perlu diambil untuk memastikan ia bersidang pada jam 11.30 pagi esok (waktu tempatan).”

Mahkamah memutuskan hari ini, Johnson bertindak secara tidak sah apabila menasihatkan Ratu Elizabeth supaya menangguhkan Parlimen hanya beberapa minggu sebelum Britain dijadualkan keluar dari Kesatuan Eropah (EU) atau proses dinamakan Brexit.

Susulan itu, prorog berkenaan terbatal.

Keputusan berkenaan bererti ahli Parlimen kini kembali bersidang dan Johnson tiada sokongan majoriti.

Kebanyakan ahli Parlimen mahu perjanjian khusus dengan EU sebelum Brexit berlaku seperti sering diancam Johnson.

Susulan itu, keputusan semalam memberi peluang

memastikan mereka mendapatnya seterusnya menghalang strategi Johnson.

Presiden Mahkamah Agung Brenda Hale dalam penghakimannya berkata: “Keputusan menasihatkan Ratu Elizabeth supaya memprorog Parlimen tidak sah kerana kesannya menghalang Parlimen melaksanakan fungsinya mengikut Perlembagaan tanpa sebab sahih.

“Parlimen tidak ditangguhkan. Ini keputusan sebulat suara kesemua 11 hakim.

“Keputusan di tangan Parlimen terutama Speaker dan Speaker House of Lords untuk memutuskan apa perlu dilakukan seterusnya.”

Parliament digantung dari 10 September hingga 14 Oktober dan disokong Ratu Elizabeth atas nasihat perdana menteri.

Segelintir ahli Parlimen, termasuk yang diusir daripada Parti Konservatif Johnson kerana tidak bersetuju dengan perancangannya untuk Brexit, menggesa dia meletak jawatan jika didapati memperdaya Ratu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 10:51 PM