ORANG ramai memprotes  Trump di Lapangan Terbang Antarabangsa Indianapolis. - AP
ORANG ramai memprotes Trump di Lapangan Terbang Antarabangsa Indianapolis. - AP

London: Parlimen Britain mungkin mendebatkan sama ada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump boleh meneruskan lawatan rasminya ke negara itu hujung tahun ini selepas lebih sejuta rakyatnya menandatangani petisyen membantah kedatangannya, susulan larangan terhadap pelawat Islam, minggu lalu.

Maklum balas orang ramai itu jauh menjangkaui sasaran minimum 100,000 tandatangan diperlukan untuk ahli Parlimen mendebatkan usul berkenaan di House of Commons.

Perdana Menteri Theresa May beberapa hari lalu mengumumkan Trump menerima jemputan rasmi Ratu Elizabeth.

Petisyen dalam talian itu menganggap presiden berkenaan tidak patut dijemput untuk mengelak daripada memalukan Ratu Elizabeth.

Usul itu menyatakan Trump wajar dibenarkan masuk ke United Kingdom (UK) dalam kapasitinya sebagai ketua kerajaan AS, tetapi tidak patut diraikan dengan lawatan rasmi kerana mampu memalukan ratu.

Jumaat lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif menggantung kemasukan semua pelarian untuk sekurang-kurangnya 120 hari. Pelarian Syria digantung kemasukan untuk tempoh yang tidak dinyatakan.

Rakyat tujuh negara Islam - Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria serta Yaman - dilarang masuk ke AS selama 90 hari. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 5:29 AM