TAUFAN Dorian melanda Bahamas. FOTO/AFP
TAUFAN Dorian melanda Bahamas. FOTO/AFP
Reuters

NASSAU: Pihak berkuasa di Bahamas merayu kepada penduduk dan pelancong semalam agar mencari perlindungan ketika masa semakin suntuk sebelum serangan Taufan Dorian, berserta amaran keengganan berpindah akan merisikokan nyawa mereka.

“Taufan Dorian adalah ribut ganas dan berbahaya yang semakin menghampiri pulau kita,” kata Perdana Menteri Bahamas, Hubert Minnis dalam sidang media secara langsung di televisyen.

Ribut kategori empat itu membawa angin dengan kelajuan maksimum 240 kilometer sejam, dijangka membadai Bahamas pada hari ini dengan membawa lebih 61 setimeter hujan di beberapa tempat, kata Pusat Taufan Nasional Amerika Syarikat (AS) (NHC).

“Angin kencang berkekuatan taufan dan hujan lebat berupaya mencetuskan banjir kilat dijangka di Pulau Abaco dan Grand Bahama pada Ahad hingga Isnin,” kata NHC.

Dorian dijangka melanda Georgia dan Carolina, kemungkinan Florida terlepas serangan langsung selepas komuniti di negeri itu menaikkan tahap amaran.

Dalam laluan langsung, ribut ganas itu menuju pulau barat daya Bahamas di Grand Bahama dan Abaco.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 12:54 PM