ANTARA bungkusan kokain yang tersadai di Pantai Bethells. -Foto AFP
ANTARA bungkusan kokain yang tersadai di Pantai Bethells. -Foto AFP
AFP

WELLINGTON: Kokain bernilai jutaan dolar dihanyutkan ke sebuah pantai di New Zealand, menyebabkan polis mendesak orang ramai agar menyerahkan sebarang bungkusan yang ditemui.

Polis dikerah ke Pantai Bethells di West Auckland semalam apabila beberapa bungkusan dadah ditemui sepanjang pantai itu.

“Polis menemui dan mengesan 19 bungkusan, malah hasil ujian mengesahkan ia mengandungi kokain,” kata Inspektor Colin Parmenter.

Dia menganggarkan kokain itu bernilai NZ$3 juta (RM8.1 juta).

Media tempatan melaporkan, bungkusan itu diletakkan di dalam jaring dan sudah berada lama di dalam laut berdasarkan cangkerang siput pada jaring berkenaan.

Ia bukanlah dadah pertama ditemui.

Pada 2016, sebanyak 500 kilogram methamphetamine bernilai hampir NZ$500 juta (RM1.35 bilion) ditemui di sebuah pantai di utara New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 1:47 PM