LEO Varadkar.
LEO Varadkar.
AFP

LONDON: Ireland bakal mengharamkan penjualan kenderaan petrol dan diesel baru menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada rancangan perubahan iklim baru.

Kerajaan berharap untuk mempunyai 950,000 kenderaan elektrik di seluruh jalan di Ireland menjelang tahun itu, yang disokong oleh rangkaian stesen pengecas.

Jangkaan itu adalah satu daripada 180 cadangan meliputi perniagaan, pembinaan, pengangkutan, pertanian dan pengurusan sisa yang membolehkan Ireland mencapai sasaran pelepasan karbon pada sifar bersih menjelang 2050.

“Pendekatan kami akan mendorong orang ramai dan perniagaan untuk mengubah tingkah laku dan disesuaikan dengan teknologi baru melalui galakan, peraturan dan maklumat.

“Objektif kami... untuk beralih kepada masyarakat rendah karbon dan berdaya tahan ke atas iklim serta bertindak untuk menyelamatkan planet kita,” kata Perdana Menteri Leo Varadkar.

Dublin berharap dapat meningkatkan penggunaan tenaga elektrik daripada tenaga boleh diperbaharui iaitu daripada 30 peratus jumlah campuran sehingga 70 peratus menjelang 2030.

‘Rancangan Tindakan Iklim’ turut menghapus penggunaan plastik tidak boleh dikitar semula dan mengenakan yuran lebih tinggi ke atas pengeluaran bahan yang sukar dikitar semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 10:18 PM