Ahmad Izram Osman
Ahmad Izram Osman

Putrajaya: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini sudah menyediakan garis panduan untuk membina stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di premis seluruh negara.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Datuk Ahmad Izram Osman berkata, garis panduan itu sudah diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dinilai sebelum diumumkan kelak.

"Bagi menyiapkan garis panduan ini, kita bekerjasama dengan Persatuan Arkitek Malaysia, Persatuan Kenderaan Pelepasan Karbon Sifar (ZEVA) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

"Antara cadangan dalam garis panduan tersebut ialah jarak kenderaan daripada laluan masuk dan keluar premis, tingkat yang sesuai untuk pemasangan dan pelbagai perkara lain," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Ahmad Izram berkata, garis panduan itu ialah prosedur permohonan dan kelulusan pemasangan stesen pengecas EV di premis, sama ada di dalam atau di luar bangunan dengan melihat daripada sudut keselamatan kebakaran.

Menurutnya, garis panduan terbabit disediakan untuk kawalan keselamatan kebakaran bagi pemasangan stesen pengecas EV di premis dan kawasan komersial sahaja serta tidak membabitkan lokasi kediaman.

Katanya, setakat ini, terdapat 1,063 stesen pengecas EV seluruh negara dan kerajaan menjangkakan 10,000 stesen menjelang 2025.

Selain itu, Ahmad Izram berkata, proses pemadaman membabitkan EV memerlukan penggunaan air yang banyak dan memakan masa serta berisiko untuk terbakar semula.

Beliau berkata, antara risiko yang boleh menyebabkan kebakaran EV ialah bateri, keadaan jalan raya, cuaca persekitaran dan stesen pengecas.

"Sebagai contoh kemalangan di jalan raya seperti jika ada kepanasan atau geseran, itu boleh menyebabkan kebakaran, kerana bateri kenderaan elektrik ini ditempatkan di lantai atau bawah kereta itu.

"Selain itu, boleh berlaku litar pintas dalaman dan luaran, terlebih voltan, terlebih cas, kepanasan luaran dan kerosakan buatan... ini memberi kesan kepada suhu naik dan boleh merebak ke kenderaan lain," katanya.

Ahmad Izram berkata, setakat ini pihaknya menggunakan medium pemadaman secara konvensional iaitu menggunakan air dan buih (foam) serta beberapa peralatan khas seperti sarung tangan khas.

Menurutnya, sarung tangan terbabit disediakan di dalam setiap jentera JBPM sejak 2015 ketika negara menghadapi kemasukan kenderaan hibrid.

"Kenderaan hybrid ini menggunakan bateri dan petrol dan kita pelajari cara untuk proses pemadaman kenderaan yang menggunakan bateri sepenuhnya.

"Kenderaan elektrik pula memerlukan kaedah penyejukan untuk proses pemadaman kerana ia mempunyai 'thermal runaway', jika tidak dicegah api akan merebak ke tempat lain.

"Beza (cara pemadaman) dengan kenderaan yang ada ketika ini, kita selalunya menggunakan air bergantung kepada situasi dan tidak mengambil masa lama," katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan membabitkan kenderaan elektrik, namun sebanyak lapan laporan kenderaan jenis hibrid diterima pada tahun ini.

Selain itu, terdapat satu laporan membabitkan kebakaran empat skuter elektrik di Kuala Lumpur pada April lalu, yang turut menyebabkan sembilan motosikal terbakar dalam kejadian itu.

Katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pembekal pemasang kenderaan elektrik bagi mengenal pasti bahagian kenderaan yang boleh membantu kepada usaha pemadaman sekiranya terbakar.

"JBPM sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan berlaku kebakaran melibatkan kenderaan elektrik ini... kita akan gunakan kelengkapan sedia ada, selain meneruskan kesedaran awam mengenai perkara ini," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata, dalam usaha memperluas ekosistem EV di negara ini, pemasangan lebih banyak stesen pengecas EV adalah aspek yang perlu diberikan tumpuan utama dengan menyasarkan 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 2:00 PM