ABDUL Wahid
ABDUL Wahid

Kuala Lumpur: Pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) lebih 31 peratus menjelang 2030.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, berdasarkan kajian Macquarie, pasaran EV merangkumi kenderaan hibrid dan dikuasakan bateri diramal menyumbang 17 peratus kepada jualan tahunan baharu dalam tempoh kurang 10 tahun akan datang.

"Pertumbuhan EV di Malaysia akan dipacu perkembangan infrastruktur pengecasan hasil komitmen Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) serta Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang melihat potensi dalam program ChargeEV.

"Menjelang 2030, TNB menjangka pasaran EV berkembang 18,000 titik pengecasan untuk 524,409 kenderaan elektrik dikuasakan bateri (BEV) di atas jalan, dengan pendapatan berasaskan elektrik tahunan sebanyak RM1.25 bilion bersamaan dengan potensi 4.4 juta tan pengurangan pelepasan karbon dioksida," katanya

Abdul Wahid berkata, perkembangan EV di Malaysia juga berterusan dengan Shell dan Petronas iaitu dua jenama terkemuka di Malaysia telah mengembangkan tawaran dalam industri berkaitan.

Katanya, pada separuh pertama, Shell melancarkan perkhidmatan Pengecasan Pantas 180kWh Shell dengan langganan tahunan dan pilihan bayar setiap penggunaan, manakala Petronas Dagangan Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan JOMCharge untuk memasang pengecas pantas di stesen Petronas.

"September lalu, Petronas melancarkan pembekal penyelesaian tenaga bersih Gentari yang menyasarkan penghantaran 25,000 titik pengecasan awam merentasi pasaran utamanya di Asia Pasifik menjelang 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 7:00 AM