GAMBAR fail  menunjukkan penyokong dari Myanmar  Jeneral Kanan Min Aung Hlaing memaparkan potretnya semasa perhimpunan anti-Rohingya. - AFP
GAMBAR fail menunjukkan penyokong dari Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing memaparkan potretnya semasa perhimpunan anti-Rohingya. - AFP
AFP

Geneva: Pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan pegawai kanan tentera Myanmar, termasuk pemerintah tertingginya perlu didakwa kerana jenayah perang terhadap penduduk Islam Rohingya dan etnik minoriti lain.

Jawatankuasa itu yang ditubuhkan Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mac 2017, mendapati tentera Myanmar melakukan tindakan yang tidak diragui menyalahi undang-undang jenayah antarabangsa.

Pengerusi jawatankuasa penyiasat itu, Marzuki Darusman berkata, pasukannya mempunyai cukup serta bukti, termasuk temu ramah dengan 875 saksi serta mangsa, imej satelit dan gambar serta rakaman video yang disahkan untuk pendakwaan.

“Pegawai kanan tentera Myanmar, termasuk pemerintah tertingginya Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, perlu disiasat dan didakwa kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai di negeri Rakhine serta jenayah kemanusiaan dan jenayah perang di Rakhine, Kachin dan Shan,” kata kenyataan jawatankuasa itu di sini, semalam.

Myanmar yang berulang kali menafikan dakwaan pembunuhan beramai-ramai itu, menegaskan operasi ketenteraannya sebagai tindak balas serangan pemberontak Rohingya.

Namun, dalam laporan jawatankuasa itu semalam, ia menegaskan taktik tentera Myanmar tidak berpadanan atau sesuai dengan tahap ancaman.

Menurut Marzuki, temuramah dengan mangsa mendapati berlakunya jenayah kemanusiaan yang amat mengejutkan pernah ditemuinya dan tentera Myanmar tidak menunjukkan kekesalan ‘mencabut nyawa’ serta keganasan yang amat ekstrem.

“Keperluan operasi ketenteraan tidak memberi kebenaran untuk membunuh sewenang-wenangnya, merogol wanita beramai-ramai, menyerang kanak-kanak dan membakar seluruh perkampungan,” kata laporan itu.

Tentera Myanmar dituduh melakukan pembunuhan, penahanan secara salah, menyeksa, perhambaan seks dan rogol.

Pasukan penyiasat itu menamakan Min Aung Hlaing dan lima lagi pegawai kanan tentera dalam senarai panjang yang didakwa terbabit dalam jenayah berkenaan.

Hampir sejuta penduduk Islam Rohingya melarikan diri dari Rakhine ke Bangladesh.

Jawatankuasa itu juga mengkritik Penasihat kerajaan Myanmar, Aung San Suu Kyi, pemenang hadiah Nobel Keamanan kerana gagal menangani kekejaman penduduk minoriti negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 12:00 PM