MANGSA yang cedera dicakar jaguar. FOTO/AGENSI
MANGSA yang cedera dicakar jaguar. FOTO/AGENSI
Agensi

Phoenix (Amerika Syarikat): Seorang wanita cedera dicakar jaguar selepas dia memanjat kandang di sebuah zoo di Arizona semata-mata untuk merakamkan gambar swafoto dengan haiwan ganas berkenaan.

Saksi berkata, wanita itu memanjat pagar dan cuba mengambil gambar swafoto dengan haiwan berkenaan di Wildlife World Zoo berhampiran Phoenix pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, seekor jaguar di dalam kandang itu melompat dan terus mencakar tangan wanita berkenaan.

Katanya, wanita itu mengalami luka dan pendarahan yang teruk di tangannya akibat dicakar harimau itu.

Satu video yang dirakam pengunjung menunjukkan wanita itu terbaring dan mengerang kesakitan ketika di bantu beberapa pengunjung lain.

Video itu juga menunjukkan kesan luka yang dalam di tangan wanita itu akibat dicakar.

Pegawai zoo berkata, wanita itu membahayakan diri dengan memanjat kandang dan pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 11:58 AM