SEORANG wanita cari nahas apabila memanjat masuk ke dalam kurungan singa di Bronx Zoo, New York. FOTO Mail Online
SEORANG wanita cari nahas apabila memanjat masuk ke dalam kurungan singa di Bronx Zoo, New York. FOTO Mail Online
Agensi

NEW YORK: Seorang wanita sengaja mencari masalah apabila memanjat tempat kurungan seekor singa di Bronx Zoo di New York semata-mata untuk membuat haiwan itu marah.

Satu video yang dirakam minggu lalu dan dikongsi oleh realsobrino di media sosial menunjukkan wanita tidak dikenali itu berdiri di hadapan singa Afrika di zoo berkenaan, lapor Daily Mail.

Dia dikatakan memanjat kayu penghadang dan masuk ke dalam tempat kurungan itu hingga mencetuskan panik di kalangan pengunjung lain.

Menerusi dua video lain yang turut dikongsi menunjukkan wanita terbabit melambaikan tangan dan cuba mendapatkan perhatian haiwan berkenaan namun ia tidak memberi reaksi.

Suara beberapa orang pengunjung yang kedengaran dalam video terbabit mengecam perbuatannya termasuk netizen yang menulis komen lucu.

“Singa pun tahu dia seorang yang bodoh!,” tulis seorang netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 4:34 PM