ANTARA haiwan yang cuba diseludup keluar daripada Madagascar. -Foto Agensi
ANTARA haiwan yang cuba diseludup keluar daripada Madagascar. -Foto Agensi
Agensi

ANTANANARIVO: Kesukaran membawa keluar haiwan secara sah menyebabkan dua pelancong China menyembunyikan cicak, lipan serta spesies sesumpah terancam di dalam beg pakaian sebelum ditahan pihak berkuasa di Madagascar, Sabtu lalu.

Dua pelancong itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ivato ketika ingin menaiki pesawat pulang ke China.

Mereka dikatakan mengikuti lawatan penyelidikan serangga bersama kumpulan ibu bapa dan murid yang dianjurkan oleh sebuah institusi swasta di Beijing, lapor Chengdu Business Daily semalam.

South China Morning Post melaporkan, 17 lagi peserta yang berada dalam kumpulan berkenaan bagaimanapun dibenarkan pulang ke Beijing.

Kes itu memaksa kedutaan China di Madagascar mengeluarkan amaran supaya rakyatnya supaya tidak membawa keluar bahan larangan termasuk spesies haiwan dan tumbuhan.

Menteri Alam Sekitar Madagascar, Alexandre Georget berkata, dua pelancong China itu berdepan hukuman tegas mengikut undang-undang.

Dia menggesa aspek keselamatan di lapangan terbang dapat diperketatkan untuk mengelak kes berulang.

Dua pelancong itu boleh didenda sehingga AS$55,400 (RM 226,001) atau penjara lima hingga 10 tahun, lapor Journal Economique Chine-Madagascar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 9:01 PM