SPEAKER Dewan Perwakilan Nancy Pelosi (berbaju biru) menyerahkan makanan percuma kepada kakitangan kerajaan yang terjejas. FOTO AP
SPEAKER Dewan Perwakilan Nancy Pelosi (berbaju biru) menyerahkan makanan percuma kepada kakitangan kerajaan yang terjejas. FOTO AP
Agensi

Washington: Lebih 800,000 kakitangan kerajaan tidak menerima gaji buat kali kedua selepas berlaku krisis penutupan sebahagian kerajaan paling panjang yang masuk minggu keempat.

Keadaan itu turut menjejaskan operasi di lapangan terbang apabila penumpang terpaksa menunggu lama untuk melepasi bahagian keselamatan selain ada kakitangan terpaksa mengharapkan bantuan makanan percuma McDonald’s.

Daily Mail melaporkan, penutupan kerajaan itu melumpuhkan semua agensi sekali gus menyebabkan lebih ramai bergantung kepada ihsan bantuan makanan.

Kumpulan sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan kerajaan sendiri membuka pusat untuk menyalurkan bantuan makanan kepada rakan mereka yang bertugas tanpa gaji.

Ramai kakitangan terbabit cuba mencari sokongan lain termasuk bekalan dari bank makanan selain cuba mencari pekerjaan baharu.

Manakala NBC menganggarkan, selain 800,000 kakitangan, seramai 1.2 juta lagi pekerja kontrak jangka pendek kerajaan tidak akan menerima bayaran gaji.

Presiden Donald Trump semalam, sempat menghantar tweet slogan ‘Build A Wall and Crime Will Fall’ (bina tembok dan jenayah akan dihapuskan) menunjukkan dia terus berkeras mahu membina tembok sempadan itu.

Dalam beberapa siri tweetnya itu, dia turut menggesa anggota Republikan lain menyokongnya dalam merealisasikan tembok dijanjikan itu.

Ketua Pemimpin Majoriti Senat Republikan, Mitch McConnell berkata, dia akan mengadakan undi terhadap cadangan Demokrat yang akan membiayai kerajaan untuk tiga minggu.

Ia bagaimanapun tidak termasuk pembiayaan AS$5.7 bilion (RM23.6 bilion) bagi pembinaan tembok berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 11:01 AM