REAKSI  Trump ketika meninggalkan podium di Rumah Putih selepas mengumumkan pembukaan kembali kerajaan, semalam. - EPA
REAKSI Trump ketika meninggalkan podium di Rumah Putih selepas mengumumkan pembukaan kembali kerajaan, semalam. - EPA
AFP

WASHINGTON: Presiden Donald Trump bukan saja mengalah dengan bersetuju menamatkan ‘penutupan kerajaan’ paling lama dalam sejarah Amerika Syarikat, malah beliau juga gagal mendapatkan dana AS$5.7 bilion (RM23.5 bilion) bagi membina tembok di sempadan Mexico.

Senator utama Demokrat, Chuck Schumer berkata, beliau berharap Trump ‘sudah mendapat pengajaran.’

Senat dan Dewan Perwakilan meluluskan peruntukan untuk agensi kerajaan yang ditutup itu sebelum Trump menandatanganinya untuk menjadi undang-undang.

Pengumuman di halaman Rumah Putih semalam, menandakan pengunduran Trump dalam tuntutannya selepas penutupan kerajaan itu melumpuhkan Washington, menjejaskan perjalanan udara selain 800,000 kakitangan awam tidak mendapat gaji selama lima minggu.

Trump mengalah berikutan penutupan kerajaan itu jelas menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi selain memberi masalah kewangan kepada kakitangan awam terbabit.

Namun, Trump memperbaharui ancamannya untuk sekali lagi menutup kerajaan atau mengisytiharkan darurat jika tiada perkembangan dalam projek tembok sempadannya dalam masa tiga minggu.

“Dalam tempoh 21 hari, saya berharap Demokrat dan Republikan akan membawa perkembangan gembira.

“Jika kami tidak mendapat faedah yang adil daripada Kongres, kerajaan mungkin ditutup lagi pada 15 Februari atau saya akan menggunakan kuasa yang diberi kepada saya oleh Perlembagaan untuk mengisytiharkan darurat,” katanya ketika mengumumkan membuka kembali kerajaan.

Kelmarin, S&P Global Ratings menyatakan ekonomi Amerika kerugian AS$6 bilion (RM24.8) akibat penutupan kerajaan itu.

Trump berusaha membina tembok itu bagi memenuhi janjinya ketika kempen pilihan raya.

Namun, tinjauan oleh Demokrat menunjukkan rakyat menyalahkan Trump kerana mencetuskan huru-hara akibat tindakannya itu.

Antara pekerja kerajaan persekutuan yang bekerja tanpa menerima gaji ialah pengawal pantai, malah ejen Perkhidmatan Sulit yang mengawal Rumah Putih juga tiada gaji selain pengawal tarik udara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 12:37 PM