TRAGEDI kereta api di Lac-Megantic, Quebec pada 2013 yang dipaparkan dalam filem Bird Box. FOTO/AFP
TRAGEDI kereta api di Lac-Megantic, Quebec pada 2013 yang dipaparkan dalam filem Bird Box. FOTO/AFP
AFP

MONTREAL: Netflix dilaporkan menolak permohonan kerajaan Quebec supaya ia menarik balik rakaman kemalangan kereta api di Kanada pada 2013, daripada filem terbitannya, ‘Bird Box’.

Namun, syarikat penyedia perkhidmatan media itu memohon maaf atas segala masalah yang timbul susulan paparan rakaman berkenaan dalam filem terbabit.

Dalam sepucuk surat kepada Menteri Kebudayaan Quebec, Nathalie Roy, Netflix turut memberi jaminan ia tidak akan menggunakan rakaman kemalangan di Lac Megantic dalam mana-mana penerbitannya.

Menurut Netflix, imej yang diperoleh dari arkib membabitkan kejadian kereta api tergelincir yang disifatkan paling buruk di Kanada itu digunakan secara meluas dalam filem dan industri televisyen, jadi ia tidak boleh ditarik balik.

Dalam kejadian pada Julai 2013, sebanyak 72 gerabak kereta api membawa minyak syal yang diletakkan di landasan utama menggelongsor ke arah pusat bandar Lac-Megantic pada waktu tengah malam, sebelum meletup.

Pasukan bomba mengambil masa selama dua hari untuk memadamkan kebakaran yang mengakibatkan 47 mangsa terkorban.

“Netflix tidak mengetahui sumber imej berkenaan dan menyedari bahawa ramai orang yang kecewa dan bersedih selepas menyaksikan rakaman tragedi itu.

“Kami benar-benar kesal kerana rakaman itu sudah menyebabkan ramai penduduk Lac-Megantic menderita dan sudah menyatakannya secara terus kepada Datuk Bandar, Julie Morin,” kata Netflix menerusi sepucuk surat yang ditandatangani pengarah dasar awamnya, Corie Wright.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 11:35 AM