ANGGOTA keselamatan mengawal keadaan di lokasi letupan paip. FOTO/REUTERS
ANGGOTA keselamatan mengawal keadaan di lokasi letupan paip. FOTO/REUTERS
Reuters

MEXICO CITY : Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan 54 lagi cedera apabila saluran paip yang bocor meletup semalam ketika orang ramai sedang berebut-rebut mengisi minyak ke dalam bekas, kata sumber kerajaan negeri Hidalgo.

Visual oleh stesen televisyen tempatan Mexico memaparkan kebakaran besar dan jeritan orang ramai di lokasi kejadian yang terletak dalam kawasan perbandaran Tlahuelilpan di utara Mexico City.

“Laporan awal yang diterima menyatakan bahawa kejadian ini amat serius dengan 20 mangsa disahkan rentung manakala 54 yang cedera melecur dengan begitu teruk,” kata gabenor Hidalgo, Omar Fayad kepada televisyen tempatan.

Kecurian minyak secara berleluasa di Mexico sehingga menyebabkan negara itu kerugian sebanyak AS$3 bilion (RM15.8 bilion) memaksa Presiden Andres Manuel Lopez Obrador melancarkan gerakan memerangi jenayah itu secara besar-besaran.

Lopez Obrador melahirkan rasa prihatin atas kejadian itu menerusi Twitter dan berkata kerajaan akan membantu semua pihak terbabit.

Rakaman video berasingan pula menunjukkan orang ramai berpusu-pusu mengambil minyak dari paip yang pecah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 12:39 PM