ANGGOTA tentera Mexico bertugas di lokasi kejadian letupan paip minyak di Tlahuelilpan, Hidalgo. FOTO AFP
ANGGOTA tentera Mexico bertugas di lokasi kejadian letupan paip minyak di Tlahuelilpan, Hidalgo. FOTO AFP
AFP

KEMATIAN akibat letupan disebabkan kebocoran saluran paip minyak di Tlahuelilpan, Mexico, hari ini, meningkat kepada 66 orang manakala 76 cedera, kata kerajaan.

“Angka kematian diperoleh setakat beberapa minit lalu adalah 66 maut manakala 76 cedera,” kata Gabenor Hidalgo, Omar Fayad.

Fayad sebelum ini dilaporkan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang juga penduduk tempatan mencuri minyak yang bocor di tapak saluran paip itu.

Video di media sosial menunjukkan perbuatan penduduk itu berlaku pada waktu siang malah dilihat askar bersenjata, seterusnya mencetuskan persoalan mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan.

Kerajaan berkata, askar sampai ke situ selepas syarikat petroleum Pemex mengesan kebocoran itu, namun tidak sempat menutup kawasan berkenaan disebabkan terlalu ramai orang.

Menteri Keselamatan Awam Alfonso Durazo memberitahu badan penyiar Televisa: “Tentera bersedia mengundur untuk mengelak masalah lanjut kerana terlalu ramai orang. Ketika itulah letupan berlaku.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 10:17 PM