ANDRES Manuel Lopez Obrador. FOTO REUTERS
ANDRES Manuel Lopez Obrador. FOTO REUTERS
AFP

MEXICO CITY: Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, berkata negara itu tidak mahu penembak El Paso yang meragut nyawa 22 Hispanik, dikenakan hukuman mati sebaliknya dia berusaha untuk memohon ekstradisinya dari Amerika Syarikat.

Penembak yang mengaku melakukan pembunuhan besar-besaran di bandar sempadan Texas, Patrick Crusius, 21, menghadapi hukuman mati di Amerika Syarikat.

Lopez Obrador berkata walaupun Mexico mengutuk perlakuan jenayah Crusius sebagai keji dan kejam, negara itu tidak mahu melihatnya dibunuh.

“Perlembagaan kami tidak membenarkan hukuman mati. Kami tidak mahu pelaksanaan hukuman mati jika disabitkan kesalahan malah penjara seumur hidup tidak wujud (di Mexico).

“Saya sudah memberi arahan berkemungkinan meminta ekstradisi lelaki berkenaan.

“Kami tidak mahu bebas daripada hukuman. Kami mahu hukuman (yang akan dikenakan) menjadi satu pengajaran. Ia harus menjadi contoh bahawa tindakan sebegitu perlu dihentikan. Perbuatan kebencian melampau itu tidak baik untuk Amerika Syarikat atau mana-mana negara,” katanya pada sidang akhbar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 10:06 AM