RAJA Maha Vajiralongkorn. FOTO AFP
RAJA Maha Vajiralongkorn. FOTO AFP
AFP

BANGKOK: Majlis pertabalan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, akan diadakan pada 4 hingga 6 Mei depan, hampir dua tahun enam bulan selepas kemangkatan ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej.

Vajiralongkorn, 66, secara rasmi bergelar Rama X daripada dinasti Chakri, dilantik sebagai pewaris takhta sejurus kemangkatan Raja Bhumibol pada 2016 yang menduduki takhta selama 70 tahun.

Sejak menaiki takhta, beliau menyusun kembali hal ehwal dan pentadbiran istana, membentuk pasukan keselamatan sendiri dan menyerahkan hak milik harta diraja bernilai berbilion ringgit dengan dirinya.

Sistem beraja Thailand, antara yang terkaya di dunia, dilindungi daripada kecaman, kritikan dan celaan melalui undang-undang yang ketat membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap satu tuduhan.

“Tuanku berpandangan ketika ini masa yang sesuai untuk upacara pertabalan mengikut tradisi diraja demi kemakmuran rakyat dan negara yang sudah lama dinanti-nantikan,” kata kenyataan Biro Pengurusan Diraja melalui televisyen, semalam.

Pertabalan akan dilakukan pada 4 Mei disaksikan kerabat diraja, jemputan kehormat dan anggota menteri kabinet Thailand sebelum Raja menemui rakyat dan diplomat pada 6 Mei.

Tahun 2019 bakal menjadi tahun dramatik kepada rakyat Thailand kerana selain pertabalan itu, pilihan raya umum juga akan diadakan tidak lama lagi, lima tahun selepas tentera merampas kuasa daripada kerajaan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 9:36 AM