PERMAISURI Suthida berlutut di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn ketika majlis  pertabalan, semalam. FOTO Reuters
PERMAISURI Suthida berlutut di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn ketika majlis pertabalan, semalam. FOTO Reuters
AFP

BANGKOK: Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn atau dikenali sebagai Rama X secara rasmi ditabalkan, semalam dalam satu istiadat diraja yang disulami dengan tradisi Hindu serta Buddha.

Bermula tepat jam 10.09 pagi (waktu tempatan), penduduk Thailand berpeluang menyaksikan tiga upacara utama pertabalan selama tiga hari itu bermula.

Vajiralongkorn adalah raja ke-10 daripada dinasti Chakri yang mula berkuasa sejak 1782.

Beliau menaiki takhta dua tahun lalu selepas kemangkatan bapanya, Raja Bhumibol Adulyadej tetapi menunggu tempoh berkabung yang panjang tamat sebelum menetapkan tarikh untuk ditabalkan.

RAJA Thailand, Maha Vajiralongkorn memakai mahkota yang dikenali sebagai Mahkota Besar Kejayaan. FOTO AFP
RAJA Thailand, Maha Vajiralongkorn memakai mahkota yang dikenali sebagai Mahkota Besar Kejayaan. FOTO AFP

Majlis semalam bermula di sebuah kuil di Istana Besar dengan Vajiralongkorn memakai kain berwarna putih dan menerima air suci dari seluruh Thailand sebelum menyapu pada muka serta menyiramnya pada badan.

Tembakan meriam menandakan bermulanya upacara itu yang disusuli dengan tiupan seruling dan bacaan mantera oleh sami Buddha.

Beberapa sami Hindu juga hadir di upacara berkenaan yang secara simboliknya menunjukkan perubahan Rama X daripada seorang manusia menjadi insan suci.

Vajiralongkorn kemudiannya duduk di atas takhta dan dipakaikan mahkota yang dikenali sebagai Mahkota Besar Kejayaan seberat 7.3 kilogram yang bertatahkan emas dan di hujungnya dihiasi sebutir berlian dari India.

PENGAWAL diraja melepaskan tembakan meriam  menandakan mulanya istiadat pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn di luar Istana Besar. FOTO  EPA
PENGAWAL diraja melepaskan tembakan meriam menandakan mulanya istiadat pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn di luar Istana Besar. FOTO EPA

Dalam ucapan sulungnya, Vajiralongkorn berikrar untuk memerintah dengan adil dan saksama demi rakyat Thailand.

Isterinya, Suthida yang dikahwininya dalam satu majlis beberapa hari sebelum pertabalan turut diisytiharkan sebagai permaisuri dan dilihat berlutut di hadapan Vajiralongkorn.

Bagi kebanyakan rakyat Thailand, ini adalah kali pertama mereka menyaksikan upacara dan istiadat pertabalan seorang raja yang kali terakhir diadakan pada 1950 untuk Adulyadej.

“Saya sangat teruja menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Saya di sini untuk merakamkan emosi orang ramai,” kata seorang pelajar, Jakarin Kerdchok, 16, yang menjadi sukarelawan untuk merakam gambar berhampiran istana.

ORANG ramai menunjukkan potret dan wang kertas yang mempunyai wajah Raja Maha Vajiralongkorn ketika konvoi kenderaan diraja tiba di Istana Besar. FOTO AFP
ORANG ramai menunjukkan potret dan wang kertas yang mempunyai wajah Raja Maha Vajiralongkorn ketika konvoi kenderaan diraja tiba di Istana Besar. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 9:04 AM