Bangkok: Upacara pembakaran mayat mendiang Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej ditetapkan pada 26 Oktober ini, lebih setahun kematian pemerintah yang paling disayangi rakyat itu.

Jurucakap kerajaan, Sansern Kaewkumnerd berkata, upacara selama lima hari berkenaan bermula pada 25 Oktober ini disusuli pembakaran mayat sehari selepas itu.

Tarikh 26 Oktober itu juga diisytiharkan sebagai cuti umum.

Upacara pembakaran mayat untuk raja di Thailand adalah satu majlis besar dan menelan belanja tinggi tetapi hanya sebilangan rakyat yang masih hidup pernah menyaksikannya.

Bhumibol mangkat pada 13 Oktober tahun lalu ketika berusia 88 tahun dan mendiang ketika itu adalah raja paling lama memerintah di dunia.

Dia memerintah Thailand selama tujuh dekad dan sangat disanjung tinggi rakyat negara itu.

Satu kompleks pembakaran mayat dalam pembinaan di satu kawasan di luar Istana Besar di Bangkok yang dikhaskan untuk upacara pengebumian diraja.

Kompleks itu terdiri daripada beberapa menara dan dihiasi dengan patung dewa dan haiwan mitos.

Pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn dijangka dilakukan tidak lama selepas upacara pembakaran mayat bapanya itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 9:20 AM