GAMBAR letusan gunung berapi Anak Krakatau di Selar Sunda yang diambil dari udara, semalam. Foto AFP
GAMBAR letusan gunung berapi Anak Krakatau di Selar Sunda yang diambil dari udara, semalam. Foto AFP

JAKARTA: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) menerima kritikan hebat di media sosial apabila didakwa gagal mengendalikan kejadian tsunami yang melanda Lampung dan Banten pada Sabtu lalu.

Dalam laporan awalnya, BMKG mengumumkan kejadian di Selat Sunda itu berpunca daripada ombak besar akibat bulan penuh, sekali gus menyangkal dakwaan berlakunya tsunami.

“BMKG tidak merekodkan kejadian gempa bumi malam tadi. Apa yang berlaku di Anyer dan kawasan sekitarnya bukan tsunami tetapi ombak besar.

“Kejadian bulan penuh malam tadi, yang mengakibatkan ombak besar. Sila bertenang,” mesej yang dimuat naik BMKG di akaun Twitternya pada malam Sabtu lalu.

Mesej itu turut disertai dengan emoji yang memakai kaca mata hitam. Namun, tidak berapa lama kemudian, agensi itu memohon maaf atas penggunaan emoji kerana menganggap ia tidak sesuai.

Agensi itu kemudiannya memuat naik mesej memaklumkan tsunami melanda kawasan terbabit, berkata ia dipercayai berpunca daripada aktiviti gunung berapi Anak Krakatau.

Kenyataan yang sama turut dimuat naik oleh jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho, sebelum ini dipadamkan.

Beliau kemudian memohon maaf kerana mesej itu dimuat naik berdasarkan maklumat yang diperoleh dari BMKG.

Insiden mengakibatkan warga Internet mula menyalahkan BMKG kerana mengeluarkan maklumat yang bercanggah.

“Amalan sikap sambil lewa, walaupun membabitkan akaun rasmi,” kata @dodon_alone.

“BMKG perlu bersikap lebih profesional, maklumat tidak tepat mengenai tsunami boleh menyebabkan lebih ramai menjadi mangsa. Mutu kerja mereka perlu dinilai semula,” kata @rillamaria_. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 3:49 PM