MICHAEL SPAVOR
MICHAEL SPAVOR
Reuters

WASHINGTON: Amerika Syarikat menggesa Beijing membebaskan dua rakyat Kanada yang ditahan, dipercayai berikutan tindakan Ottawa menahan seorang eksekutif kanan sebuah syarikat terkemuka China.

Minggu lalu, dua warga Kanada, iaitu bekas diplomat yang juga penasihat kumpulan pemikir Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG), Michael Kovrig dan ahli perniagaan, Michael Spavor ditahan.

Tindakan itu disyaki susulan tindakan polis Kanada memberkas ketua pegawai kewangan Huawei Technologies Co Ltd, Meng Wanzhou pada 1 Disember lalu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara, Robert Palladino, berkata prosiding perundangan yang dilaksanakan terhadap Meng Wanzhou yang juga anak perempuan pengasas Huawei, berlangsung dengan adil, tidak berat sebelah dan telus.

“Kami juga ingin melahirkan rasa prihatin terhadap tindakan Kerajaan China menahan dua rakyat Kanada pada awal bulan ini, dan menggesa supaya mereka segera dibebaskan,” kata Palladino dalam satu kenyataan.

Amerika Syarikat berusaha untuk mengekstradisi Meng Wanzhou, yang kini dibebaskan atas jaminan di Kanada, berhubung tuduhan mengelirukan bank multinasional mengenai transaksi membabitkan Iran, sekali gus mendedahkan mereka kepada tindakan kerana melanggar sekatan yang dikuat kuasa Washington.

Sementara itu, Huawei adalah pembekal terbesar peralatan rangkaian telekomunikasi dan penjual telefon bimbit terbesar di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 1:50 PM