NADIA MURAD
NADIA MURAD
Reuters

SINJAR (IRAQ) : Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Nadia Murad berniat menggunakan wang kemenangan diperoleh untuk membina hospital khusus merawat mangsa penderaan seks di kampungnya.

Nadia, wanita etnik Yazidi yang ditawan sebagai hamba seks Daesh menceritakan impian itu di hadapan ratusan tetamu di Sinjar, utara Iraq.

“Dengan wang kemenangan sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan, saya akan membina sebuah hospital di Sinjar untuk merawat orang sakit, khususnya janda dan wanita yang menjadi mangsa penderaan seks Daesh,” katanya ketika berucap di hadapan tetamu dan wartawan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Iraq dan Kurdistan kerana bersetuju dengan rancangan dibuatnya dan turut memaklumkan, akan menghubungi pertubuhan kemanusiaan pada kadar segera bagi memulakan pembinaan.

Wanita berusia 25 tahun itu memenangi hadiah bernilai AS$1 juta (RM4.19 juta) bersama seorang lagi pemenang, Dr Denis Mukwege atas usaha mereka mengakhiri keganasan seksual sebagai senjata dalam mana-mana peperangan atau konflik.

Beliau adalah seorang daripada 7,000 wanita serta budak perempuan yang diculik di barat laut Iraq pada Ogos 2014 oleh militan Daesh, didera secara seksual dan diperkosa berulang kali.

Nadia berjaya melarikan diri selepas tiga bulan diculik dan tiba di Jerman sebelum mengadakan kempen besar-besaran merayu sokongan komuniti Yazidi.

Penempatan Yazidi di Sinjar sebelum ini adalah kediaman kepada kira-kira 400,000 penduduk, sebilangan besarnya adalah dari etnik berkenaan dan Arab Sunni.

Hanya dalam masa beberapa hari, lebih daripada 3,000 penduduk Yazidi terbunuh dan hampir 6,800 lagi diculik, sama ada untuk dijual sebagai hamba atau dijadikan anggota militan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 12:42 PM