Agensi

Damsyik : Kerana ketakutan dan enggan menjadi hamba pemuas nafsu militan Negara Islam (IS), sekumpulan tahanan wanita etnik Yazidi rela mencekik leher sesama sendiri untuk membunuh diri.

Ketika perang masih berlangsung sengit, ribuan wanita Yazidi di utara Iraq dipercayai sudah menjadi mangsa perkosa atau pelbagai bentuk penderaan lain.

Mereka yang masih hidup sempat menceritakan bagaimana mereka cuba membunuh diri sebagai usaha mengelakkan daripada menderita di tangan militan IS.

Melalui laporan Amnesty International (AI), semalam, anggota pertubuhan hak asasi manusia itu menemui pelbagai cerita ngeri dialami wanita dan kanak-kanak Yazidi yang diculik di utara Iraq.

Wafa, 27, memberitahu bagaimana dia dan kakaknya cuba menamatkan riwayat hidup mereka selepas diugut untuk dikahwinkan secara paksa.

Katanya, mereka menggunakan kain tudung untuk melilit leher masing-masing, tetapi cubaan membunuh diri itu dihalang dua kanak-kanak perempuan yang dikurung di bilik sama.

“Namun akibat belitan kuat kain itu, saya tidak dapat bercakap selama beberapa hari,” katanya.

Kebanyakan wanita yang ditangkap dipaksa berkahwin.

Jika tidak, kata AI, wanita Yazidi akan dijual atau dijadikan ‘hadiah’ kepada anggota IS atau penyokong mereka.

Sebelum dikahwinkan, mereka dipaksa memeluk Islam.

Sebelum ini, abang seorang tawanan berusia sembilan tahun, Jilan, memberitahu AI, adiknya membunuh diri selepas ditangkap kerana takut dirogol.

Untuk menamatkan riwayat sendiri, gadis terbabit mengelar pergelangan tangan sebelum menggantung diri di dalam bilik mandi.

Ketika dalam tahanan, katanya, mereka dipaksa mandi sebelum dipakaikan dengan baju seperti penari.

“Kebanyakan tahanan itu berusia 14 atau 15 tahun, malah pada ketika tertentu ada yang lebih muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:04 AM