ASKAR Israel melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin yang berkumpul di sempadan Gaza-Israel kelmarin. - AFP
ASKAR Israel melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin yang berkumpul di sempadan Gaza-Israel kelmarin. - AFP
AFP

Gaza: Seorang remaja maut akibat kecederaan yang dialaminya semalam, sehari selepas ditembak oleh tentera Israel dalam pertempuran di sempadan Gaza dengan negara Yahudi berkenaan.

Jurucakap kementerian kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qudra berkata, remaja itu, Muadh al-Suri, 15, meninggal dunia akibat ditembak di perut menjadikan mangsa yang maut dalam pertempuran kelmarin meningkat kepada dua orang dan lebih 200 lagi cedera.

Menurut tentera Israel, kira-kira 8,000 penduduk Palestin berkumpul di beberapa lokasi di sepanjang sempadan kelmarin dan cuba mensabotaj pagar sempadan milik negara itu.

Katanya, beberapa penunjuk perasaan menceroboh Israel dan membaling bom api dan bahan letupan.

Sekurang-kurangnya 159 penduduk Palestin terbunuh dalam tunjuk perasaan di sempadan itu yang bermula pada hujung Mac lalu, manakala seorang askar Israel ditembak mati.

PENDUDUK Palestin bersedia menerbangkan layang-layang yang membawa bom api berhampiran sempadan Israel di Gaza kelmarin. - AFP
PENDUDUK Palestin bersedia menerbangkan layang-layang yang membawa bom api berhampiran sempadan Israel di Gaza kelmarin. - AFP

Aktivis Palestin turut menerbangkan belon dan layang-layang membawa bom api melepasi sempadan yang mencetuskan beratus-ratus kebakaran di Israel.

Penduduk di Gaza kini mengalami masalah pengangguran dan kemiskinan yang tinggi selepas pintu sempadan di Mesir dan Israel ditutup sejak beberapa tahun lalu.

Israel menegaskan kepungan terhadap Gaza itu penting bagi memencilkan pergerakan Hamas yang menguasai wilayah berkenaan dan berperang dengan tentera rejim Zionis sejak 2008.

Bagaimanapun, tindakan Israel itu dikritik kumpulan hak asasi manusia dan beberapa negara kerana kira-kira dua juta penduduk Gaza turut menerima kesan buruk daripada kepungan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 2:20 AM