ANTARA peserta pertandingan unta cantik pada Pesta Unta Raja Abdulaziz. FOTO AFP
ANTARA peserta pertandingan unta cantik pada Pesta Unta Raja Abdulaziz. FOTO AFP
Agensi

Riyadh: Arab Saudi pertama kali menganjurkan pertandingan unta cantik dengan penyertaan peserta wanita pada Pesta Unta Raja Abdulaziz yang diadakan di timur laut negara itu.

Arab News melaporkan, Haya Al-Askar diumumkan sebagai juara untuk kategori peserta wanita oleh hakim pertandingan.

Seramai 34 wanita mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang membabitkan unta Al-Mughateer, baka yang terkenal dalam kalangan penduduk Semenanjung Arab.

Suku Badwi membahagikan unta Al-Mughateer kepada warna yang terdiri daripada warna putih hingga kuning dan merah.

Selain Haya, pertandingan itu dimenangi Rasma Al-Dosari di tempat kedua, Malath Aoun (ketiga), Lamia Al-Rashidi (keempat) dan Dalal Abdullah Al-Otaibi (kelima).

Lamia memberitahu Arab News bahawa dia gembira menjadi antara wanita Saudi pertama yang mengambil bahagian dalam acara sedemikian.

Pertandingan edisi keenam itu membenarkan wanita mengambil bahagian dan mempamerkan unta mereka buat kali pertama.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman kerana memberi wanita peluang yang begitu menakjubkan. Saya bercita-cita untuk turut serta pada tahun depan dan diharap mendapat tempat pertama," kata Lamia kepada Arab News.

Munira Al-Mushkhas, yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu menyatakan kegembiraannya untuk mengambil bahagian dan berkata, dia menghadiri acara itu kerana ia yang pertama seumpamanya

"Saya mengajak semua wanita untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Satu penghormatan bagi saya untuk menempatkan unta saya dalam 10 kelompok teratas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:30 AM