Buaya ditangkap membaham Andi di Sandaran. FOTO Merdeka.com
Buaya ditangkap membaham Andi di Sandaran. FOTO Merdeka.com
Agensi

KAKI dan lengan manusia dijumpai dalam perut buaya besar yang dipercayai membaham seorang lelaki di Sungai Kebunyahan, Sandaran, Borneo, kata polis Indonesia, hari ini.

Pihak berkuasa menembak mati reptilia ganas sepanjang enam meter itu berhampiran tebing sungai, lokasi seorang pekerja ladang kelapa sawit hilang dua hari sebelumnya, dengan cuma motosikal dan seliparnya ditemui di tempat kejadian.

Pencarian berakhir semalam apabila mayat Andi Aso Erang, 36, yang hilang dua anggota pada tubuhnya, ditemui terapung di bahagian berbeza sungai di Kalimantan itu.

Polis berkata, mereka mengesan buaya itu berhampiran dan membunuhnya.

“Di dalam perutnya, kami menjumpai lengan kiri dan kaki dipercayai milik mangsa,” kata ketua polis tempatan, Teddy Ristiawan.

Isteri mangsa berkata, suaminya keluar dari rumah untuk mencari kerang.

“Saya tidak menyangka akan berakhir dalam keadaan dahsyat seperti ini,” kata Anisa.

Pada 2016, pelancong Russia maut dibaham buaya di pulau Raja Ampat, lokasi menyelam popular di timur kepulauan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 8:27 PM