Dr Muhamad Akmal Saleh. FOTO AMIR MAMAT
Dr Muhamad Akmal Saleh. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Kerajaan negeri mengingatkan nelayan yang terbabit dalam Projek Kebun Kerang di perairan pantai Melaka supaya tidak `mengalibabakan' lot kawasan ternakan hidupan laut itu kepada pihak lain.

EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata amaran keras diberikan kepada peserta, termasuk membatalkan nama mereka daripada menyertai projek berkenaan sekiranya sah melakukan perbuatan terbabit.

"Jangan ada terlintas di pemikiran tuan-tuan untuk mengalibabakan projek ini. Jika saya dapat tahu dan disahkan tuan-tuan terbabit (mengalibabakan), saya akan pastikan nama dibatalkan serta-merta daripada meneruskan projek ini.

"Ramai lagi nelayan yang berada dalam senarai menunggu untuk menyertai projek ini dan mereka akan menggantikan peserta yang dibatalkan penyertaan itu," katanya ketika merasmikan Kursus Pengurusan Kebun Kerang Negeri Melaka di Hotel LaCrista, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur Jabatan Perikanan, Datuk Azahari Othman dan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon.

Dr Muhamad Akmal berkata, sebanyak 18 lot kerang disediakan dengan setiap lot akan membabitkan seramai 10 peserta dan menerusi kajian Jabatan Perikanan, kawasan yang sudah diwartakan sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) itu didapati sangat sesuai dengan ternakan kerang.

Katanya, sejumlah RM990,0000 peruntukan disediakan bagi tujuan pelaksanaan projek berkenaan dengan harapan peserta dapat memperoleh lebih pendapatan berbanding sekarang.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 180 nelayan sekitar Jasin terpilih menjadi perintis Projek Kebun Kerang yang akan bermula bulan depan.

Katanya, projek terbabit merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan untuk meningkatkan pendapatan nelayan.

"Kerajaan negeri sudah menggazetkan kawasan ZIA seluas 550 hektar dari perairan Sungai Kesang ke perairan laut Sungai Renggei bagi tujuan pembangunan akuakultur dan kawasan itu didapati sesuai untuk aktiviti ternakan kupang dan kerang.

"Apabila tiba musim tuaian yang dijangka pada Januari depan, sekiranya berjaya, kita akan memperluaskan lagi projek ini ke kawasan lain di negeri ini, namun bergantung kepada situasi dan kajian daripada Jabatan Perikanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 5:46 PM