Pusat tahanan imigresen di Songkhla. - Foto Ihsan Thai PBS
Pusat tahanan imigresen di Songkhla. - Foto Ihsan Thai PBS
Reuters

SERAMAI 25 tahanan etnik Uighur Islam dari China melarikan diri dari pusat tahanan imigresen Songkhla selepas menebuk dinding menggunakan pecahan jubin dan turun dengan selimut yang dijadikan tali, malam tadi.

Lima daripada mereka berjaya ditahan kembali dan pihak berkuasa sedang memburu 20 lagi.

Jurucakap polis Songkhla, Kapten Prasit Timmakarn, berkata hujan lebat membantu memudahkan tahanan terbabit melarikan diri dan pihaknya sudah melakukan sekatan di sempadan.

Tahanan Uighur terbabit adalah sebahagian daripada lebih 200 etnik Uighurs yang ditahan pada 2014.

Kumpulan itu mendakwa mereka rakyat Turki dan menuntut dihantar ke Turki namun lebih 100 orang dipaksa kembali ke China pada Julai 2015 yang dikecam pertubuhan hak asasi kemanusiaan kerana bimbang mereka ditahan serta diseksa pihak berkuasa China.

Ratusan orang terbunuh sejak beberapa tahun lalu di Xinjiang, China, akibat keganasan antara suku kaum majoriti Han dengan Uighurs yang berbahasa Turki.

Pada Ogos 2015, letupan bom di sebuah kuil di Bangkok membunuh 20 orang dan polis Thailand menahan dua etnik Uighur yang masih dibicarakan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 5:13 PM