TUNJUK perasaan membantah penindasan etnik Uighur. FOTO fail AFp
TUNJUK perasaan membantah penindasan etnik Uighur. FOTO fail AFp
AFP

Beijing: Satu pangkalan data China mendedahkan ribuan etnik Uighur ditahan di Xinjiang.

Penyelidik menganggarkan lebih sejuta Uighur dan individu lain yang majoritinya Muslim diletakkan dalam pusat rangkaian tahanan rahsia dan penjara kononnya sebagai sebahagian daripada kempen antikeganasan selepas beberapa siri serangan.

Namun, maklumat mengenai tindakan keras di wilayah Xinjiang dan mereka yang terjerat dikawal rapi pihak berkuasa Komunis China.

Ia menyebabkan saudara-mara dan ahli keluarga tidak dapat menghubungi tahanan atau mendapatkan jawapan daripada polis, dengan hanya sebahagian kecil daripada notis mahkamah dari Xinjiang tersedia secara terbuka.

Data pangkalan China mengenai maklumat tahanan berkenaan yang bocor baru-baru ini membantu Nursimangul Abdureshid menjejaki lokasi ahli keluarganya yang hilang atau mangsa tindakan keras China ke atas Xinjiang.

Nursimangul, yang kini menetap di Turki mendedahkan terputus hubungan dengan keluarganya lima tahun lalu.

Kedutaan China di Ankara mengambil masa sehingga tahun 2020 untuk mengesahkan adik lelakinya, Memetili serta ibu bapanya dipenjarakan kerana kesalahan berkaitan keganasan.

Bagaimanapun, data senarai disyaki polis yang dibocorkan kepada aktivis Uighur di luar China mengesan Memetili di penjara di luar bandar Aksu, kira-kira 600 kilometer dari rumah mereka.

Dokumen menunjukkan, dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 11 bulan yang disahkan oleh kedutaan Beijing di Ankara.

"Ia adalah lebih baik daripada tidak mengetahui apa-apa tentang di mana dia berada.

"Ada sinar kebahagiaan," kata Nursimangul, 33, yang menetap di Istanbul sejak 2015 kepada AFP.

AFP berjaya melihat senarai pangkalan data yang tidak dilaporkan itu yang menyenaraikan lebih 10,000 orang Uighur dari daerah Konasheher di barat daya Xinjiang dipenjarakan termasuk lebih 100 orang dari kampung Nursimangul.

Lokasi ibu bapanya masih menjadi misteri, begitu juga dengan seorang abang yang turut dipercayai ditahan.

Nursimangul berkata, dia mengenali nama tujuh penduduk kampung lain dalam senarai tahanan berkenaan yang kesemuanya pemilik perniagaan kecil atau pekerja ladang tiada kaitan dengan keganasan.

"Apabila saya mencari senarai ini, saya rasa seperti tidak boleh bernafas," katanya.

Selain Nursimangul, AFP berjaya menemu bual empat lagi etnik Uighur yang tinggal di luar China yang sedang mencari saudara dan kenalan yang ditahan dalam senarai itu.

Senarai yang bocor itu memperincikan setiap nama banduan, tarikh lahir, etnik, nombor kad pengenalan, pertuduhan, alamat, tempoh hukuman dan penjara.

Ia tidak mungkin untuk mengesahkan ketulenan pangkalan data secara bebas.

Bagi sesetengah orang, itu adalah maklumat pertama yang mereka dapat akses mengenai keberadaan saudara mereka yang 'hilang' selama bertahun-tahun.

Data kerajaan menunjukkan bilangan orang yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah Xinjiang meningkat lebih 133,000 pada 2018 berbanding 21,000 pada 2014.

Ramai orang Uighur lain, tidak pernah didakwa atas sebarang jenayah, dihantar ke tempat yang digelar aktivis sebagai 'kem pendidikan semula' di seluruh Xinjiang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 4:15 PM