AKTIVIS tidur di bangunan Universiti Barcelona lokasi pusat pengundian undi bagi pungutan suara. - Reuters
AKTIVIS tidur di bangunan Universiti Barcelona lokasi pusat pengundian undi bagi pungutan suara. - Reuters
RIBUAN penyokong kemerdekaan Catalonia berkumpul di Barcelona kelmarin menjelang pungutan suara. - EPA
RIBUAN penyokong kemerdekaan Catalonia berkumpul di Barcelona kelmarin menjelang pungutan suara. - EPA
AFP

Barcelona: Penyokong kemerdekaan Catalonia mempamerkan keazaman untuk meneruskan satu pungutan suara untuk berpisah daripada Sepanyol hari ini walaupun diharamkan dan cuba dihalang Madrid.

Puluhan ribu penyokong kemerdekaan berarak di jalan raya dan menawan puluhan sekolah yang dijadikan tempat pembuangan undang bagi mengelak ditutup polis.

Suasana tegang menyelubungi wilayah antara paling kaya di Sepanyol itu di mana pemimpin Catalonia berikrar menentang kerajaan pusat di Madrid.

Krisis itu adalah paling besar melanda Sepanyol sejak demokrasi dipulihkan selepas kematian diktator Francisco Franco pada 1975.

“Dalam suasana sangat hebat dan sangat beremosi ini, kami yakin apa yang satu masa dahulu hanya satu mimpi kini boleh dicapai,” kata pemimpin Catalonia, Carles Puigdemont dalam satu kempen kelmarin.

“Tiada apa yang boleh menafikan hak asas seperti hak untuk mengundi,” kata pelajar, Omar Sanchis yang menawan sekolah Collaso i Gil di sini bersama puluhan lagi rakannya.

Pihak berkuasa di Madrid mengarahkan polis memastikan tiada satu pun undi dibuat dan mahkamah juga memutuskan pungutan suara itu melanggar undang-undang.

Sejak beberapa hari lalu pihak berkuasa merampas peralatan membuang undi seperti kertas undi manakala laman sesawang pengundian ditutup dan beberapa individu yang menganjurkan pungutan suara ditangkap.

Kelmarin, ratusan traktor yang dihiasi bendera Catalonia berarak di Barcelona dan berikrar menghalang kenderaan polis ke pusat pengundian.

Anggota bomba juga berikrar untuk melindungi pusat pengundian.

Kelas ditamatkan awal kelmarin dan sekumpulan aktivis termasuk ibu bapa dan anak mereka menawan beberapa sekolah di Barcelona lokasi pengundian berlangsung.

“Saya akan tidur di sini bersama anak lelaki sulung saya,” kata Gisela Losa di sekolah rendah Reina Violant di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 3:10 AM