RIZIEQ menunjukkan risalah mengenai wang kertas baru rupiah kepada wartawan selepas keluar dari Ibu Pejabat Polis Jakarta semalam. - Detik.com
RIZIEQ menunjukkan risalah mengenai wang kertas baru rupiah kepada wartawan selepas keluar dari Ibu Pejabat Polis Jakarta semalam. - Detik.com
Agensi

Jakarta: Pengasas dan pemimpin Barisan Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab disoal siasat polis Jakarta semalam selepas didakwa menghina mata wang rupiah dalam satu ceramahnya, baru-baru ini.

Rizieq tiba di Ibu Pejabat Polis Jakarta kira-kira jam 11 pagi (waktu tempatan) dan dibawa ke jabatan siasatan jenayah khas untuk soal siasat.

Pemimpin itu disoal siasat berhubung ceramahnya yang tersebar di media sosial mendakwa wang kertas rupiah yang baru mempunyai gambar tukul dan sabit, yang dikaitkan dengan logo komunis.

Rizieq disiasat polis selepas satu kumpulan yang dikenali sebagai Jaringan Ilmiah Muda Antifitnah (Jimaf) membuat laporan polis mendakwa pemimpin itu menghina mata wang Indonesia.

Gabenor Bank Indonesia (BI), Agus Martowardoyo sebelum ini menafikan dakwaan Rizieq dan memberitahu, logo hologram itu direka seperti itu bagi melindungi wang itu daripada pemalsuan.

Beratus-ratus penyokong FPI turut berhimpun di depan Ibu Pejabat Polis Jakarta itu bagi memberi sokongan kepada pemimpin mereka.

Rizieq disoal siasat selama empat jam sebelum dia dibebaskan.

Ketika bertemu wartawan, Rizieq menegaskan bahawa dia tidak memfitnah wang kertas rupiah baru berkenaan.

“Saya selesai disoal siasat dan diajukan sebanyak 23 soalan.

“Saya tegaskan bahawa saya tidak memfitnah atau menuduh. Saya juga tunjukkan semua wang kertas sebagai bukti,” katanya.

Rizieq mempersoalkan keputusan BI memilih logo hologram yang boleh mengelirukan orang ramai itu.

“Ada ribuan logo tetapi mengapa BI memilih logo yang boleh memberi persepsi menyerupai gambar tukul dan sabit. Ini sangat bahaya,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 8:57 AM