Jakarta: Empat askar Indonesia maut dan lapan lagi cedera dalam satu latihan tembakan artileri di sebuah pulau di Laut China Selatan, kata tentera semalam.

Tentera berkata, kejadian itu berlaku kelmarin dalam satu latihan membabitkan batalion simpanan tentera di Tanjung Datuk Natuna di kepulauan Natuna.

“Meriam yang dikendalikan tidak dapat dikawal dan mengena askar yang berada di kawasan berhampiran.

“Kejadian itu menyebabkan empat askar maut dan lapan cedera dengan empat daripada mereka parah,” kata jurucakap tentera, Alfret Denny Tuejeh.

Katanya, meriam antipesawat buatan China itu dibeli pada 2003 dan digunakan tanpa sebarang masalah sehari sebelum kejadian.

Menurutnya, tentera sudah mula menyiasat kemalangan berkenaan.

Tanjung Datuk Natuna adalah sebahagian kepulauan Natuna di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber perikanan dan minyak.

Indonesia meningkatkan kawalan di sekitar pulau itu selepas beberapa insiden antara kapal peronda China dengan Indonesia.

Jakarta menegaskan bahawa negara itu tiada pertikaian maritim dengan China di Laut China Selatan dan tidak menuntut mana-mana pulau atau terumbu di kawasan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 11:55 AM