ZIKRI di kem pelarian Rohingya.
ZIKRI di kem pelarian Rohingya.
Shuhada Mansor


Bidang fotografi boleh dikatakan antara kerjaya yang diminati remaja hingga melahirkan ramai jurufoto muda berbakat besar. Namun, pelbagai genre boleh dicuba bagi membolehkan seseorang jurufoto itu fokus terhadap bidang kerjanya.

Bagi Ahmad Zikri Mohamad Zuki, 25, minatnya mengambil gambar menjadi titik tolak untuk dia menyambung pengajian dalam bidang ini bagi mendalami ilmu fotografi.

Selepas lebih empat tahun menjadi jurufoto sambilan, dia percaya minatnya lebih terarah kepada mengabdikan gambar di tempat konflik dan bencana.

Kini di kem Rohingya, Bangladesh

Bagi Zikri, apabila melihat sendiri pelarian, mangsa bencana dan kehidupan orang susah membuatkan dia lebih bersyukur dan rasa bertuah.

“Saya pernah menghabiskan berminggu-minggu di Indonesia untuk menanti Gunung Berapi Sinabung meletus. Menjejakkan kaki di kawasan bergolak di Pakistan, India dan Lubnan tahun lalu dan kini di Bangladesh untuk isu Rohingya.

GUNUNG Sinabung ketika meletus.
GUNUNG Sinabung ketika meletus.

“Sepanjang di sini, susah payah hidup yang pelarian lalui cukup menginsafkan. Saya ingin kongsikan rasa itu dengan mengabadikan detik berharga dalam bentuk penceritaan gambar. Bagaimana mereka menangis menceritakan saudara dan keluarga dibunuh dengan kejam, melihat mereka berebut untuk secebis makanan, itu cukup menginsafkan,” katanya.

Selain melakukan dokumentasi untuk dijadikan bukti masa depan, Zikri berkata, dia memilih lokasi konflik kerana dapat melihat ‘keindahan’ walaupun dalam daerah kehancuran.

KEADAAN di kem pelarian Rohingya, Bangladesh.
KEADAAN di kem pelarian Rohingya, Bangladesh.

“Contohnya, seperti di sini (kem Rohingya, Bangladesh) sekarang, saya dapat lihat banyak sukarelawan seluruh dunia datang membantu sepenuh hati. Pelbagai organisasi cuba untuk memberikan bantuan terbaik bagi setiap pelarian. Ini antara ‘keindahan’ yang saya maksudkan. Wujud sifat kemanusiaan yang masih menebal antara kita walaupun berbeza agama,” katanya.

Selesa keluar sendiri

Zikri berkata, ada misi yang dia keluar bersama rakan, berkumpulan, namun kebanyakannya dia lebih selesa sendiri.

“Bukan saya tak suka ada ‘geng’, tapi kadang-kadang, bila di tempat konflik yang kita tak tahu apa akan jadi, lebih mudah untuk sendiri. Kalau nak tunggu gunung meletus satu hari tanpa mandi pun tak ada orang kisah. Kita jaga diri sendiri, tak perlu fikir pasal orang lain. Pendek kata, senang nak buat kerja,” katanya.

Dia yang meletakkan jurugambar tersohor dunia, Kevin Frayer sebagai idola dalam kerjaya ini berkata, sebagai jurufoto sepenuh masa yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat atau organisasi, status itu memudahkannya bergerak ke mana saja.

KEM pelarian Syria di Lubnan.
KEM pelarian Syria di Lubnan.

“Seperti sekarang, saya keluar atas keinginan dan inisiatif sendiri untuk merakam isu hangat yang mendapat perhatian seluruh dunia. Bukan untuk membina nama, tapi memang saya rasa lebih mencabar untuk ‘mencuri’ detik bermakna jika berada dalam situasi ini. Jangan lupa keselamatan diri juga perlu diletakkan paling utama” katanya.

Pencapaian terbaik dirinya ialah ketika gambar tragedi MH370 yang dirakam pernah dimuatkan dua muka di bahagian tengah majalah Time pada 2013.

“Tempat yang saya ingin jejak adalah Mogadishu. Saya pasti setiap kehancuran ada keindahan yang tersendiri. Tuhan tak pernah membenarkan suatu perkara terjadi jika tidak untuk kita belajar. Setiap lokasi saya pergi, banyak yang dapat amati dan pelajari.

“Bagi yang minat dalam fotografi, banyak persaingan dengan kecekapan masing-masing. Yakin dengan kelebihan sendiri, pedulikan anasir negatif kiri kanan, depan belakang, baca Bismillah dan jalan terus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 1:23 PM