PELARIAN Rohingya berhimpun di kem pelarian Kutupalong. FOTO Reuters
PELARIAN Rohingya berhimpun di kem pelarian Kutupalong. FOTO Reuters
AFP

COX’S BAZAR: Kira-kira 200,000 orang Rohingya berhimpun secara aman di kem pelarian Kutupalong untuk menandakan dua tahun sejak melarikan diri dari kekejaman tentera Myanmar.

Kira-kira 740,000 Rohingya dari Rakhine melarikan diri pada Ogos 2017 ketika kempen ketenteraan kejam itu, seterusnya menyertai 200,000 lain yang sudahpun mendapatkan perlindungan di tenggara Bangladesh.

Kanak-kanak, wanita dan lelaki melaungkan takbir dan ‘Hidup Rohingya’ ketika berarak di tengah kem pelarian terbesar dunia untuk memperingati apa digelar ‘Hari Genosid’ tanpa menghiraukan cuaca panas terik.

Mereka turut melaungkan lirik lagu popular ‘dunia tak pedulikan nasib Rohingya.’

PERHIMPUNAN yang digelar ‘Hari Genosid’ diadakan tanpa menghiraukan cuaca panas terik. FOTO Reuters
PERHIMPUNAN yang digelar ‘Hari Genosid’ diadakan tanpa menghiraukan cuaca panas terik. FOTO Reuters

Myanmar mendakwa melancarkan operasi antipemberontak terhadap ekstremis Rohingya yang menyerang pos kawalan polis, namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu berkata, pegawai tertinggi tentera Myanmar patut didakwa atas genosid berhubung kejadian itu.

Ketua Rohingya, Mohib Ullah berkata, golongan tanpa kewarganegaraan itu cuma mahu pulang selepas diberi kerakyatan, selain dijamin keselamatan dan dibenarkan kembali ke perkampungan mereka.

“Kami diseksa, dibunuh dan dirogol di Rakhine. Tetapi ia tetap tempat kami. Kami mahu pulang,” katanya ketika berucap di perhimpunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 9:36 PM