ANTARA lukisan mural di Fish Lane, Brisbane.
ANTARA lukisan mural di Fish Lane, Brisbane.
PENGUNJUNG boleh merasai pengalaman berbeza makan malam di Eat Street Northshore.
PENGUNJUNG boleh merasai pengalaman berbeza makan malam di Eat Street Northshore.
MENDAKI The Story Bridge sesuai bagi pelancong yang menggemari aktiviti mencabar.
MENDAKI The Story Bridge sesuai bagi pelancong yang menggemari aktiviti mencabar.
MERCU tanda Brisbane di South Bank Parklands menjadi tumpuan pelancong untuk bergambar.
MERCU tanda Brisbane di South Bank Parklands menjadi tumpuan pelancong untuk bergambar.
BANDARAYA Brisbane yang dibelah Sungai Brisbane.
BANDARAYA Brisbane yang dibelah Sungai Brisbane.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Cuaca sejuk 13 darjah Celsius menyambut ketibaan penulis bersama tiga rakan media di Lapangan Terbang Brisbane, Australia.

Keterujaan kali pertama menjejakkan kaki di ibu negeri Queensland itu dapat ‘melenyapkan’ sedikit kedinginan musim sejuk yang baru saja bermula di bandar raya berkenaan.

Apa yang pasti, pengalaman musim sejuk dilalui penulis pada kali ini begitu berbeza berbanding musim sejuk di negara Eropah kerana suhu di bandar raya itu hanya mencecah di antara 11 hingga 21 darjah Celsius.

Bukan itu saja, penyertaan penulis dalam lawatan media ke Brisbane, Australia anjuran Malaysia Airlines Berhad dengan kerjasama Tourism Australia agak istimewa kerana turut merasai pengalaman kali pertama berpuasa di luar negara. Difahamkan, tempoh berpuasa di Australia pada tahun ini paling singkat di dunia iaitu 11 jam 50 minit.

Brisbane kurang popular berbanding beberapa bandar raya lain di Australia seperti Sydney, Melbourne, Perth dan Gold Coast yang sering menjadi destinasi pilihan pelancong.

Berkeluasan kira-kira 15,826 kilometer (km) persegi, bandar raya itu terletak di tepi Sungai Brisbane di bahagian tenggara Queensland dan pantai timur Australia di selatan Lautan Pasifik.

Ia adalah bandar raya ketiga terbesar di Australia selepas Sydney dan Melbourne yang dianggap sebagai bandar raya paling pesat membangun di negara itu yang kini mempunyai penduduk dianggarkan seramai empat juta orang.

Empat hari berada di negara kanggaru itu membuatkan penulis berasa tidak puas kerana sepanjang hari dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik dan menyeronokkan yang disediakan Tourism Australia.

Tak kenal maka tak cinta. Itu ungkapan tepat penulis menggambarkan Brisbane sebagai bandar raya yang memiliki banyak tarikan tersendiri yang perlu diterokai dan pastinya akan membuatkan pengunjung jatuh hati dengan kota metropolitan berkenaan.

Memiliki banyak taman dan ruang hijau membangkitkan rasa ketenangan apabila berada di bandar raya itu.

Brisbane dikelilingi sungai yang panjang dan berliku, jelas menambahkan keindahan serta nilai eksklusif kepada kota metropolitan itu.

Dengan kata mudah, Brisbane adalah lokasi ideal mencari ketenangan dan pilihan lokasi percutian yang unik untuk mengabadikan kenangan terindah sepanjang kehidupan.

Justeru, pengembara bolehlah memasukkan Brisbane ke dalam senarai destinasi pelancongan mereka dan pasti tidak menyesal.

Bagi yang meminati kesenian dan kebudayaan, Brisbane adalah pilihan tepat kerana boleh memenuhi apa yang mereka diinginkan.

Pengunjung tidak perlu berasa gusar kerana boleh mendapatkan perkhidmatan sukarelawan Brisbane Greeter yang akan membantu membawa mereka menjelajah ke sekitar Brisbane bagi menghayati keindahan bandar raya berkenaan.

Perkhidmatan secara percuma itu ditawarkan kepada sesiapa saja termasuk pelancong antarabangsa dan penuntut dengan hanya membuat pendaftaran dalam talian di Brisbane Greeter.

Pengunjung boleh memilih lokasi yang ingin dilawati dan menetapkan janji temu dengan sukarelawan terbabit.

Berada di tengah-tengah bandar Brisbane membuatkan penulis berasa seolah-olah berada di ‘kota budaya dan kesenian’ kerana terdapat banyak bangunan bersejarah, muzium, galeri seni dan kesenian umum di situ.

Galeri Seni Moden (GOMA) adalah sebahagian daripada Pusat Kebudayaan Queensland yang mempamerkan lebih 20,000 karya pelukis antarabangsa yang wajib dikunjungi.

Pada pemerhatian penulis, masyarakat Brisbane begitu menyukai seni kerana banyak lukisan mural pada dinding bangunan di sepanjang jalan di Fish Lane yang terbukti menghidupkan dan menceriakan lagi bandar itu.

BERMESRA DENGAN KOALA

Memandangkan Australia terkenal dengan haiwan koala dan kanggaru, rugi rasanya jika tidak menemui dan ‘bermesra’ dengan haiwan berkenaan di Tempat Perlindungan Koala Lone Pine.

Begitu juga dengan penulis yang merasakan ia peluang keemasan apabila mendukung koala dan memberi kanggaru makan.

Walaupun mendukung haiwan itu hanya sebentar, tetapi berasa gembira kerana selama ini hanya berpeluang melihat keletah comel haiwan itu menerusi televisyen.

Terletak kira-kira 12km dari Brisbane, Tempat Perlindungan Koala Lone Pine yang beroperasi sejak 91 tahun lalu adalah tempat perlindungan koala tertua dan terbesar di dunia, di samping mendapat pengiktirafan Guinness World Records.

Berkeluasan kira-kira 18 hektar, pusat perlindungan terbabit terletak di Fig Tree Pocket iaitu kawasan pinggir bandar Brisbane yang mempunyai 130 koala.

Selain koala dan kangaru, penulis juga berkesempatan melihat dua haiwan unik berasal dari Australia iaitu wombat dan Tasmanian devil secara lebih dekat.

Sementara itu, bagi mereka menggemari aktiviti mencabar dan ingin merasai pengalaman luar biasa ketika bercuti di Brisbane bolehlah cuba mendaki The Story Bridge.

Ia dibuka kepada umum pada 1940 dengan panjang keseluruhan 777 meter (m), menjadi mercu tanda Bandaraya Brisbane.

Penulis tidak dapat menyertai aktiviti itu kerana takut kepada ketinggian dan hanya mendengar pengalaman pendakian yang dikongsikan rakan media.

Kata teman, pendakian The Story Bridge mengambil masa antara satu hingga dua jam pada ketinggian kira-kira 80m hingga ke puncak memberikan kepuasan yang tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata apabila melihat panorama menakjubkan yang tidak boleh diperoleh di mana-mana.

Ini kerana berada di puncak jambatan itu membolehkan pendaki menyaksikan pandangan 360 darjah Bandaraya Brisbane, sungai, gunung dan pulau yang membuat pelancong terpegun melihat keindahan semula jadinya.

Katanya, ia adalah pengalaman sekali seumur hidup yang perlu dirasai setiap pelancong jika ke Brisbane - kecuali penulis!

Pengunjung juga tidak perlu bimbang aspek keselamatan. Mereka akan memakai pakaian khas yang dilengkapi peralatan keselamatan seperti abah-abah, selain diiringi jurupandu yang memberikan sokongan atau motivasi jika pendaki berasa takut.

Hari terakhir di Brisbane adalah waktu yang dinantikan penulis kerana dibawa menjelajah seharian ke Tangalooma Island Resort di Pulau Moreton.

Sepanjang perjalanan menaiki feri ke pulau itu yang mengambil masa kira-kira sejam sudah membuatkan penulis berasa tidak sabar untuk tiba di resort.

Seperti mendapat kejutan apabila sampai ke pulau itu kerana disajikan dengan panorama indah ditambah pula airnya berwarna biru, jernih dan pantainya berpasir putih.

Banyak aktiviti menarik menanti pengunjung yang datang ke pulau berkenaan. Penulis sendiri memberanikan diri untuk meluncur bukit pasir menggunakan papan.

Sudah tentunya perasaan penulis bercampur baur apabila papan itu meluncur laju ke bawah dari puncak bukit pasir yang berketinggian lebih kurang 100m.

Ini kerana aktiviti itu dilakukan secara meniarap di atas papan dan jika tersilap mengendalikan papan berkenaan boleh menyebabkan muka tersembam pada pasir atau jatuh.

Selesai meluncur, penulis merasai satu kepuasan dan keseronokan yang sukar digambarkan kerana pertama kali melakukannya.

Seterusnya, penulis menunggang kenderaan pelbagai permukaan atau All Terrain Vehicle (ATV) sejauh 4km di sekitar pulau berkenaan yang meninggalkan kenangan tersendiri.

Sangkaan penulis yang pada mulanya, menunggang atau mengendalikan ATV itu mudah nyata meleset sewaktu melalui permukaan jalan tidak rata, berbukit, sempit dan membelok selekoh.

Ketika itu, kemampuan dan kekuatan tangan penulis benar-benar diuji kerana saiznya, selain ia berat.

Aktiviti terakhir di pulau berkenaan ialah memberi makan ikan lumba-lumba liar di tepi pantai dengan bimbingan petugas Dolphin Care.

Bagi yang ingin bermalam di Tangalooma Island Resort boleh menginap di lima jenis penginapan peraginan tepi pantai bertaraf tiga hingga empat bintang termasuk hotel, vila dan pangsapuri.

Apabila tiba masa untuk pulang, berat hati sungguh hendak meninggalkan pulau itu kerana ia memberi 1,001 pengalaman berharga dan kerana itulah sehingga hari ini, dirasakan hati masih ‘tertinggal’ di Tangalooma Island Resort!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 5:54 AM