JOEY koala putih amat jarang dijumpai.
JOEY koala putih amat jarang dijumpai.
JOEY  selesa dalam dakapan ibunya, Tia.
JOEY selesa dalam dakapan ibunya, Tia.
Suliati Asri


Demam Joey koala putih melanda Zoo Australia sejak beberapa bulan lalu dengan kemunculan wajah comel yang lembut dari kantung.

‘Joey’ adalah nama biasa dirujuk secara khusus kepada bayi koala. Malah, ‘Joey’ bukan hanya digunakan untuk koala saja, tetapi bayi mamalia lain seperti kanggaru.

Pengarah Hospital Hidupan Liar Zoo Australia, Dr Rosie Booth berkata, adalah sesuatu yang luar biasa anak koala berbulu cerah dengan mata dan kulit yang sepatutnya hitam.

“Dalam sains veterinar, ia sering disebut sebagai ‘gen perak’ di mana haiwan dilahirkan dengan bulu putih atau sangat pucat dan seperti gigi bayi, ia akhirnya melepaskan bulu bayinya dan biasa bertukar warna apabila dewasa,” kata Dr Rosie.

Koala diketahui bervariasi dalam warna bergantung kepada persekitaran mereka. Koala selatan lebih gelap dan besar berbanding koala dari Queensland dan New South Wales.

“Dalam kerajaan haiwan liar, ia sebenarnya agak malang mempunyai warna yang luar biasa terang kerana menyukarkan haiwan itu membuat penyamaran dan berisiko dilihat pemangsa.

“Tapi, Joey kecil yang dilahirkan di Zoo Australia ini pula bagai menang ‘jackpot’ kerana setiap orang memuja dan memberi perhatian kepadanya,” katanya.

Joey putih belum dinamakan dan bahagian Pelancongan Australia menggalakkan cadangan nama melalui Facebook.

Anak koala ini akan membesar dengan rakannya dan berada dalam kandang ‘Mums n Bubs’ di mana mereka menjadi lebih berani memanjat serta mendapatkan daun eucalyptus untuk dimakan.

Zoo Australia di Sunshine Coast, Queensland adalah satu-satunya tempat di negara itu apabila koala dapat dipeluk oleh pengunjung.

Pada masa sama, Zoo Australia juga menaja Australia Zoo Wildlife Hospital terkenal sebagai hospital yang memberikan kemudahan perubahan khusus untuk kesihatan dan penyelidikan koala serta semua spesies Australia asli yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 12:00 AM