KOALA sentiasa menjadi tarikan utama Maru.
KOALA sentiasa menjadi tarikan utama Maru.
WALABI yang amat jinak dan dilepas bebas.
WALABI yang amat jinak dan dilepas bebas.
NEROLI memberi penerangan mengenai aktiviti di Maru.
NEROLI memberi penerangan mengenai aktiviti di Maru.
ANTARA anugerah yang diterima Neroli (kiri) dan Ian (tengah).
ANTARA anugerah yang diterima Neroli (kiri) dan Ian (tengah).
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Bukan calang-calang orang yang mampu memberi komitmen dan menyerahkan seluruh hidupnya untuk bergiat aktif dalam penjagaan dan pemeliharaan haiwan liar. Jika tiada minat dan kesabaran tinggi pastinya tugas menjaga haiwan ini bukan sesuatu yang mudah.

Namun, kesempatan penulis berkunjung ke Maru Koala and Animal Park terletak di Philip Island ketika mengikuti rombongan media ke Melbourne, Australia tajaan syarikat penerbangan Emirates Airline dan Tourism Victoria baru-baru ini tidak disia-siakan untuk bertemu dengan keluarga Heffer yang memiliki dan menguruskan taman haiwan itu.

Pelbagai persoalan bermain di fikiran penulis sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di sini apatah lagi selama ini penulis tidak pernah mendekati haiwan seperti beruang koala dan kanggaru yang sememangnya sinonim dengan negara terletak di hemisfera selatan itu.

Mendekati wanita di sebalik taman haiwan ini, Neroli Heffer, 45, berkata perniagaan keluarga suaminya, Ian Heffer bermula lebih 30 tahun lalu dan sejak berkahwin dengan Ian pada 2004, dia membantu Ian menguruskan taman haiwan berkenaan sepe–nuhnya.

Wanita itu bukan saja berpengalaman luas dalam penjagaan haiwan malah sebelum terbabit dengan taman haiwan itu lagi, dia terlebih dulu memegang jawatan sebagai pemeriksa bagi Pertubuhan Kebangsaan Bagi Mencegah Penganiayaan Haiwan (RSPCA) selama 10 tahun.

Tugasnya ketika itu adalah mendidik pemilik haiwan untuk menjaga haiwan mereka dan menguatkuasakan undang-undang mengenai penjagaan haiwan apabila diperlukan.

“Dari kecil hidup saya begitu dekat dengan haiwan dan asalnya saya mahu menjadi doktor haiwan tetapi sebaliknya melanjutkan pengajian dalam bidang yang memberi tumpuan lebih kepada ternakan dan pengeluaran haiwan.

“Banyak haiwan peliharaan yang berbeza di seluruh hidup saya terutama kuda yang saya terbabit dalam pembiakan, latihan dan pertandingan sebelum berkeluarga,” katanya yang turut memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian dari Universiti Melbourne.

Bertuah

Katanya, dua anak perempuan mereka, Becky Heffer dan Tabatha Heffer masing-masing berusia lapan dan tujuh tahun juga dididik sejak awal untuk sama-sama membabitkan diri dalam taman haiwan itu dan walaupun masih kecil, mereka sudah membiasakan diri dengan persekitaran berkenaan.

Neroli akui begitu bertuah kerana dapat menumpukan minatnya terhadap haiwan dengan menjadi sebahagian daripada keluarga berkenaan dan sama-sama mengusahakan taman haiwan itu dengan penuh kesungguhan dan semangat.

“Amat menyedihkan ramai kanak-kanak di Australia hidup dengan ibu bapa tunggal atau tidak mampu memiliki keluarga yang kukuh dan penuh kasih sayang seperti mana saya membesar dan kini giliran saya membesarkan anak-anak sendiri.

“Pengalaman anak-anak kami menjalin hubungan dengan keluarga ramai pengunjung tetap selain menikmati pengalaman menjaga haiwan itu sendiri juga sesuatu yang berharga untuk mereka. Saya juga bersyukur kerana sentiasa berada di samping suami kerana dia tidak perlu pergi ke sesuatu tempat yang jauh untuk bekerja dalam waktu yang panjang.

“Sebaliknya kami boleh berkongsi pengalaman ini di Maru dan keluarga bersama. Mengusahakan Maru ternyata sesuatu yang sangat memuaskan hidup kami berdua selain hanya bekerja,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan dengan haiwan di Maru, Neroli berkata, cara paling mudah dan paling asas untuk mewujudkan ikatan dengan mana-mana haiwan bermula dengan pemerhatian dan kesabaran.

Membiak

Seseorang itu hanya perlu menghabiskan masa dengan memerhati dan berada dekat dengan haiwan supaya boleh mula mempelajari tingkah-laku, ciri-ciri semula jadinya dan haiwan akan menerima anda sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

“Dengan cara itu apabila kita mula mencuba mengendalikan haiwan itu, anda lebih bersedia untuk memahami tindak balas haiwan itu. Sebelum anak kami dilahirkan, kami menerima beberapa ekor kanggaru dari zoo lain dan mereka amat ketakutan.

“Saya dan Ian menghabiskan setiap malam untuk duduk bersama mereka bagi membiasakan mereka dengan kami dan selepas seminggu mereka mula mendekati kami sehingga beberapa minggu selepas itu mereka sendiri datang kepada kami untuk diberi makan. Semuanya memerlukan masa dan kesabaran. Semua kanggaru ini membiak dan menghasilkan ramai generasi di Maru sehingga kini,” katanya.

Selain kanggaru, beruang koala turut menjadi tarikan utama di Maru dan haiwan itu sentiasa popular di situ. Bagaimanapun, kanak-kanak yang mengunjungi Maru juga teruja melihat dan menghulurkan tangan memberi makan kepada kanggaru dan walabi. Haiwan biasa seperti arnab, kuda dan keldai juga terus menjadi kegemaran kanak-kanak.

Jinak

Katanya, di Maru, tiada satu pun haiwan yang ganas, namun pihaknya sentiasa berhati-hati dan menghormati haiwan yang dijaga. Koala contohnya, pengunjung sering lihat sebagai haiwan yang jinak dan gemar tidur. Walaupun dikendalikan oleh penjaga, mereka masih mempunyai kuku yang tajam untuk memanjat pokok dan mempunyai gigitan yang merbahaya.

“Semua kakitangan di Maru dan saya sendiri mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai haiwan yang dipelihara di sini termasuk alam sekitar dan iklim tempat asal mereka. Bukan saja pemahaman daripada kursus rasmi dan pendidikan, tetapi juga melalui perkongsian pengetahuan antara penjaga taman haiwan dan juga zoo lain.

“Banyak reptilia di sini berasal dari utara Australia iaitu persekitaran yang lebih tropika dan panas jadi haiwan ini perlu dibekalkan dengan pemanasan dan pencahayaan khas untuk memastikan mereka kekal sihat dan mendapat apa yang mereka perlukan. Maru terletak di selatan Australia yang lebih sejuk,” katanya.

Menurutnya, mereka juga bernasib baik kerana tidak pernah mengalami sebarang komplikasi semasa kelahiran mana-mana haiwan di Maru, tetapi sentiasa berhubung dengan seorang doktor haiwan yang boleh membantu jika diperlukan.

“Antara semua haiwan di Maru saya akan sentiasa ingati kanggaru yang mesra dengan panggilan Matty iaitu kanggaru pertama yang diserahkan untuk dipelihara di Maru. Sejak memeliharanya dari kecil hingga kini, Matty mempunyai ikatan yang sangat rapat dengan kami. Setiap haiwan ini mempunyai personaliti khas mereka sendiri yang menjadikan setiap haiwan unik,” katanya.

Mengenai misi utama perniagaan keluarganya itu, Neroli berkata, selain mempamerkan haiwan asal negara itu, pihaknya menggalakkan dan membenarkan pengunjung merasai pengalaman mendekati haiwan di Maru.

“Melalui pengalaman ini kita boleh memupuk sikap menghargai selain pemahaman sebenar mengenai haiwan di sini melalui ceramah, pertunjukan dan pendidikan oleh penjaga. Dengan cara ini kami berhasrat memupuk sikap menghormati dan memelihara haiwan di sini dalam persekitaran liar dan semula jadi mereka,” katanya.

Melatih

Neroli berkata, walaupun mereka sibuk menguruskan Maru, namun sebagai ibu, keluarga tetap menjadi keutamaannya dan suami kerana baginya jika mereka benar-benar gembira sebagai satu keluarga maka tenaga positif akan terus mengalir kepada perniagaan mereka.

Katanya, memandangkan Maru adalah perniagaan keluarga, kesibukan memang tidak dapat dielak lantas pentingnya pengurusan keutamaan setiap hari. Justeru, mereka sentiasa merancang jadual kakitangan secara teliti bagi memastikan mereka mempunyai masa untuk keluarga setiap hari dan juga sedikit masa daripada perniagaan.

“Memilih, menggaji dan melatih kakitangan yang kita yakini sepenuhnya sememangnya penting untuk membolehkan kita dapat meluang masa dengan keluarga, mengetahui bahawa perniagaan keluarga kami diurus dengan baik oleh kakitangan kanan kepercayaan yang juga menjadi sebahagian daripada keluarga besar kami,” katanya.

Mengenai Maru, taman haiwan itu diusahakan keluarga Heffer sejak 1983 secara kecil-kecilan dan kini menjadi antara tarikan pengunjung seluruh dunia. Ia terletak hanya 15 minit perjalanan dari Philip Island, Australia.

Dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 5 petang, Maru turut menawarkan aktiviti menarik seperti pertunjukan haiwan liar, mencukur bulu biri-biri serta merasai pengalaman memberi makan haiwan seperti kanggaru dan koala.

Pelbagai maklumat boleh didapati menerusi laman web www.marukoalapark.com.au atau facebook Maru Koala and Animal Park.

*(Penulis mengikuti kunjungan media ke Melbourne, Australia)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 12:49 PM