KEPELBAGAIAN bunga yang berwarna-warni membentuk landskap yang unik dan menarik.
KEPELBAGAIAN bunga yang berwarna-warni membentuk landskap yang unik dan menarik.
SERING dikunjungi peminat pokok bunga dari seluruh negara.
SERING dikunjungi peminat pokok bunga dari seluruh negara.
Muhamaad Razis Ismail


Minat mendalam terhadap bunga sejak kecil mendorong suri rumah ini membina taman bunga di kediamannya yang terletak di Felda Keratong 7, Muadzam Shah, Pahang, sejak 36 tahun lalu.

Bermula dengan sejenis pokok bunga, kini Painam Suratman, 57, atau lebih mesra disapa Anum sudah memiliki 99 jenis pokok bunga yang ditanam di sekeliling kediamannya sekali gus membentuk landskap unik dan menarik.

Antara pokok bunga yang ditanam termasuk pokok bunga keembong, lavender, keladi, zinnia dan bunga kertas.

Menariknya, semua pokok bunga yang berwarna-warni ini disusun atur kemas dan teratur memenuhi segenap ruang sehingga membentuk seperti sebuah taman bunga.

Jadi tidak hairanlah, kediaman Anum dan suaminya, Nur Abidin Che Mud, 58, sering menjadi tumpuan peminat pokok bunga daripada seluruh negara.

Anum berkata, inspirasi untuk membina taman bunga sendiri datangnya daripada filem hindustan yang ditonton di televisyen.

Katanya, selepas mendapat idea, dia terus menanam pokok yang diinginkan di halaman rumahnya itu.

"Saya akui tidak pernah mempelajari teknik menanam dan penjagaan pokok secara formal. Sebaliknya, saya belajar secara sendiri dan mengamalkan petua orang-orang lama.

"Alhamdulillah, bermula daripada satu pokok kini saya dapat realisasikan impian memiliki taman bunga sendiri hasil usaha saya dan suami," katanya.

Berkongsi berkenaan susun atur, setiap pokok bunga disusun mengikut jenis, warna dan ketinggian.

"Biasanya, pokok yang tinggi saya tempatkan di bahagian tepi dan belakang, manakala pokok renek akan ditempatkan di bahagian depan.

TAMAN bunga sentiasa dipastikan kemas dan tersusun.
TAMAN bunga sentiasa dipastikan kemas dan tersusun.

SEBAHAGIAN pokok bunga yang ditanam Anum..
SEBAHAGIAN pokok bunga yang ditanam Anum..

TAMAN bunga sentiasa dipastikan kemas dan tersusun.
TAMAN bunga sentiasa dipastikan kemas dan tersusun.

CUCU Anum mengabadikan kenangan di taman bunga.
CUCU Anum mengabadikan kenangan di taman bunga.

"Pokok akan sentiasa dipangkas untuk memastikan ketinggiannya sentiasa sama," katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuk memastikan semua pokok bunga sentiasa hidup subur kerana ia menuntut komitmen yang tinggi.

"Setiap hari saya meluangkan masa selama lapan jam untuk memastikan pokok bunga sentiasa dalam keadaan baik.

"Pokok perlu sentiasa disiram mengikut keperluan dan baja serta penggalak akar perlu diberikan mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.

Pada masa yang sama, Anum juga banyak menggunakan pelbagai kaedah alternatif termasuk bahan-bahan di dapur untuk penjagaan pokok bunganya.

"Antaranya, saya biasa menggunakan campuran kulit bawang, kulit telur dan air basuhan beras sebagai pengganti kepada racun serangga. Selain itu boleh juga gunakan minyak masak yang direndam dengan bawang putih untuk mencantikkan daun pokok.

"Kaedah alternatif ini lebih selamat digunakan selain dapat menjimatkan kos penyelenggaraan pokok," katanya.

Akuinya, bagi sesetengah orang mungkin nampak sukar untuk memastikan semua pokok bunga dapat hidup subur.

"Namun bagi pencinta pokok bunga, ia bukanlah sukar kerana saya sudah melakukannya sejak tiga dekad lalu. Ia sudah menjadi rutin harian saya sekiranya tiada urusan lain di luar.

"Bagi saya, walaupun kadang kala kepenatan dapat meluangkan masa bersama pokok bunga adalah terapi yang dapat memberi ketenangan dan kebahagiaan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 6:45 AM