SALLINA meluangkan masa dengan anaknya.
SALLINA meluangkan masa dengan anaknya.
Muhamaad Razis Ismail


HANYA kerana mahu mengimbau nostalgia bermain pondok-pondok ketika kecil, Sallina Ujang, 51, dan suaminya, Mohd Affendi Henry Abdullah, 56, sanggup membina sebuah rumah kecil khas untuk anak mereka di halaman rumah di Gemas, Negeri Sembilan.

Rumah dengan ketinggian 1.8 meter dan lebar 1.5 meter itu dibina dengan papan mengambil masa sdua bulan untuk disiapkan.

Lebih unik reka bentuk rumah itu menampilkan elemen kemelayuan sesuai dengan suasana seperti di kampung yang dilengkapi pintu, tingkap dan beranda untuk pengudaraan serta pencahayaan semula jadi.

Dekorasi di bahagian dalam rumah dilengkapi dengan sofa kecil, dapur mainan dan para untuk pokok hiasan serta buku.

Kini rumah kecil yang dinamakan sebagai Pondok Anum sempena anak mereka, Anum Zulaikha berusia setahun lapan bulan itu menjadi tempat bermain.

Malah, perkongsian Sallina mengenai kediaman kecil dan unik ini mendapat maklum balas positif dalam kalangan warganet.

PROSES pembinaan Pondok Anum dijalankan ketika PKPB.
PROSES pembinaan Pondok Anum dijalankan ketika PKPB.

Sallina yang juga guru berkata, idea untuk membina rumah kecil itu tercetus untuk menyediakan ruang bermain yang selesa untuk anaknya.

"Di rumah ini berkeluasan sesuai saiz badan anak, ia dapat menarik minat anak bermain di sini. Saya juga tidak risau kerana boleh memantaunya bermain di sini.

"Pada masa sama, kami mahu mengimbau nostalgia bermain pondok-pondok yang semakin dilupakan pada masa kini," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, rumah kecil itu mula dibina suaminya yang juga pesara tentera ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan untuk mengekang pandemik Covid-19.

"Kerja pembinaan dijalankan mengikut masa terluang suami dengan kos keseluruhan RM3,000.

PEMBINAAN yang hampir siap.
PEMBINAAN yang hampir siap.

"Secara keseluruhan proses pembinaan berjalan lancar, cuma suami berdepan sedikit kesukaran untuk menaikkan bumbung dan perlu mendapatkan bantuan adik lelakinya," kata Sallina.

Jelasnya, sebaik saja rumah itu siap, anaknya sangat teruja dan gembira apabila memiliki 'rumah sendiri' untuk bermain.

"Di situ anak banyak meluangkan masanya setiap hari dengan pelbagai aktiviti seperti memasak, membaca, menyanyi, menari dan tidur.

"Sebagai ibu bapa sudah pasti lebih bahagia apabila dapat menggembirakan anak dengan titik peluh sendiri," katanya.

Malah, dia tidak menyangka, sebaik berkongsi berkenaan Pondok Anum di media sosial, ia mendapat maklum balas positif warga net yang turut teruja.

DEKORASI ringkas.
DEKORASI ringkas.

"Ada dalam kalangan mereka yang mahu membina dan membeli untuk anak mereka. Tidak kurang juga yang mahu datang untuk melihat sendiri.

"Lebih menyentuh hati, ada dalam kalangan warganet mengimbau kenangan zaman kanak-kanak bersama ibu bapa mereka," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Sallina berhasrat membina zoo mini di luar pondok untuk menarik minat pembelajaran di luar bilik darjah kepada anaknya.

"Saya juga mahu membina buaian kayu dan menanam lebih banyak pokok hiasan supaya kawasan di luar rumah nampak lebih hijau.

"Di bahagian dalam saya berhasrat untuk melabelkan semua hiasan dalaman," katanya.

PONDOK Anum.
PONDOK Anum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:20 AM