PLOT tanaman membantu memudahkan pengurusan tanaman.
PLOT tanaman membantu memudahkan pengurusan tanaman.
Nurul Husna Mahmud


'Edible garden' adalah taman mini menggabungkan jenis tanaman yang terdiri daripada sayur-sayuran, ulam-ulaman, pokok herba dan buah-buahan.

Bukan hanya menghijaukan laman, edibel garden membantu pemiliknya mendapatkan sumber

makanan yang sihat setiap hari.

Tidak hairanlah kebanyakan pihak berkuasa atau kerajaan tempatan menyarankan edibel garden perlu ada dalam setiap kediaman atau komuniti bagi mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi menyokong sosio-ekonomi masyarakat.

Dari sudut umum, edibel garden ini banyak memberi kebaikan. Dari sudut menghijaukan laman sehinggalah membantu membentuk masyarakat berdaya tahan dengan elemen sekuriti makanan.

Pada masa sama ia membantu mengurangkan jejak karbon. Persekitaran laman yang lebih redup sudah tentu meningkatkan kadar udara yang lebih bersih serta sihat.

Berikut panduan dalam penyediaan atau mewujudkan edibel garden dalam kawasan laman rumah atau komuniti.

SISTEM pengairan lancar memudahkan pengurusan edibel garden.
SISTEM pengairan lancar memudahkan pengurusan edibel garden.

1. Merancang konsep atau kaedah tanaman

Terdapat pelbagai kaedah dalam mewujudkan edibel garden sama ada kaedah konvensional iaitu tanaman terus ke tanah atau pasu selain hidroponik mahupun akuaponik.

Namun begitu, pemilik taman terbabit perlu sesuaikan mengikut keluasan tapak atau lokasi sama ada laman itu luas atau ruangnya terhad.

Tidak memiliki sebarang laman bertanah juga bukan alasan. Memadai dengan hanya memiliki ruang bercucuk tanam pada balkoni rumah.

Sebaiknya rancang dahulu kaedah yang ingin diketengahkan supaya sesuai dengan kemampuan dan komitmen atau ruang untuk membina edibel garden.

BUNGA juga boleh dijadikan penyeri.
BUNGA juga boleh dijadikan penyeri.

2. Pemilihan tanaman

Edibel merujuk kepada tanaman boleh dimakan. Ia tidak semestinya merujuk kepada tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan semata-mata kerana ada kalanya tanaman bunga seperti bunga talang atau bunga matahari yang boleh menjadi sumber makanan.

Lakukan pembacaan bagi mendapatkan gambaran mengenai tanaman yang boleh dimuatkan dalam edibel garden.

Ini membantu mewujudkan pelbagai variasi sumber tanaman yang bukan sahaja berfungsi sebagai makanan tetapi juga memperindahkan kawasan laman.

3. Wujudkan sistem pengairan yang stabil

Air elemen utama dan penting untuk tanaman apatah lagi untuk tanaman makanan.

Sistem fertigasi atau tuaian air hujan boleh membantu mengoptimumkan sumber air mencukupi dalam memastikan edibel garden kekal subur.

4. Pembajaan dan racun yang lebih organik

Disebabkan tanaman di edibel garden kebanyakan sumber makanan, pilihan baja dan racun sewajarnya adalah berasaskan bahan organik.

Ini membantu memastikan sumber makanan selamat selain tanaman kekal subur.

Dapatkan khidmat pakar landskap terutama yang mahir dalam tanaman atau penyelenggaraan taman jenis ini bagi mendapatkan tip.

Pakar itu juga boleh berkongsi mengenai penggunaan baja atau racun lebih selamat.

MENARIK apabila taman edibel menjadi konsep laman
MENARIK apabila taman edibel menjadi konsep laman

5. Saranan mengamalkan sistem plot atau dalam bekas

Bagi memudahkan penyelenggaraan dan pengurusan tanaman, sebaiknya pemilik menggunakan sistem plot atau pembahagian mengikut seksyen tertentu.

Contohnya tanaman berdaun, tanaman herba, sayur 'berbuah' diasingkan untuk membantu penjagaan lebih teratur.

Amalkan juga sistem penggiliran iaitu tanaman berbeza bagi tempoh tertentu bagi mengelak serangan serangga perosak dan memelihara kesuburan tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 6:16 AM