ABDUL Aziz menunjukkan satu lagi produk pertanian iaitu tanaman 'microgreen'.
ABDUL Aziz menunjukkan satu lagi produk pertanian iaitu tanaman 'microgreen'.
Nurul Husna Mahmud


Pandemik Covid-19 banyak memberi prespektif baharu terhadap orang awam mengenai akses sumber harian penting terutama makanan.

Isu keselamatan makanan bukan hanya dilihat dalam skop tanggungjawab kerajaan semata-mata sebaliknya perlu ada pembabitan dan inisiatif rakyat terutama penggiat pertanian dalam memastikan bekalan makanan mencukupi.

Namun bagi memastikan sumber makanan terutama dalam pertanian dan penternakan mencukupi, perubahan iklim selain kekurangan sumber tanah yang subur juga dilihat satu cabaran.

Pengasas Urban Ecolife Agrofarm, Dr Abdul Aziz Azimullah, mengambil pendekatan meningkatkan amalan lestari dalam kaedah pertanian membolehkan kelangsungan pengeluaran hasil yang berterusan.

"Kebanyakan teknologi pertanian serata dunia seperti Amerika, Eropah, China mahupun India memfokuskan kepada 'regenerative agriculture' berasaskan tanah. Namun di ladang Urban Ecolife Agrofarm di Gombak Selangor ini, kami memilih kaedah peningkatan sumber hasil dalam ladang dengan menumpukan sumber air.

"'Regenerative agriculture' berasaskan air ini menggunakan Ecolife Modular Aquaponic System (EMAS) adalah sistem kami bangunkan sendiri dengan mengambil kaedah akuaponik kemudian diintegrasikan bersama teknologi pintar.

"Kami menaik taraf sistem itu dengan memperkenalkan amalan atau kaedah pertanian moden, Ecolife Integrated Technology (ELIT) meliputi empat prinsip termasuk sistem akuaponik tadi.

"Tumpuan utama dalam kaedah baharu dan pelaksanaan terkini ialah pemantauan ladang menggunakan aplikasi atau boleh dilihat menerusi peranti.

"Ia memberi pandangan baharu kepada anak muda dengan melihat aktiviti pertanian ini satu cabang profesion yang lebih menarik," katanya.

LARVA lalat tentera hitam menjadi sumber makanan untuk ikan.
LARVA lalat tentera hitam menjadi sumber makanan untuk ikan.

Abdul Aziz berkata, sistem itu bukan saja lestari malah membantu petani yang menggunakan sistem berkenaan untuk menyesuai format atau formula bersesuaian dengan amalan atau skala ladang masing-masing.

"Mengenai kajian ELIT yang dibangunkan lebih dua tahun lalu yang memfokuskan 'regenerative agriculture' berasaskan air mempunyai empat prinsip atau kriteria utama iaitu pertama, sistem akuaponik integrasi.

"Model sistem ini EMAS ada beberapa siri iaitu 101, 201, 302 dan lainnya, menggunakan modular sistem akuaponik boleh dilaras untuk kesesuaian sistem mikro (ladang kecil) atau rekaan sistem akuaponik berskala besar.

VERTIKAL juga kaedah diguna dalam membantu menjimatkan ruang bagi petani yang tidak memiliki tanah luas.
VERTIKAL juga kaedah diguna dalam membantu menjimatkan ruang bagi petani yang tidak memiliki tanah luas.

"Prinsip kedua pula ialah Zero Feed System (Sistem Makanan Sifar) menggunakan sumber ditanam atau dihasilkan sendiri dalam ladang seperti Lalat (BSF), cacing, azola selain hasil atau sisa ternakan lain sebagai makanan ternakan dan baja," katanya.

Bagi prinsip keempat dalam sistem ELIT, Abdul Aziz menerangkan Sistem Tenaga Sifar iaitu menggunakan solar dan biomas bagi menjana tenaga elektrik.

Sementara prinsip keempat pula ialah Sistem Pengeluaran (Tuaiana Hasil) Hi- Tech & Internet Of Things (IoT) apabila adanya janaan automatik membantu dalam memantau penjagaan hinggalah kepada tuaian hasil.

Malah Abdul Aziz mengandaikan apabila sistem berkenaan diperluaskan kepada ladang lain, produktiviti sumber makanan bukan saja mencukupi malah kualiti produk juga sihat dan bersih.

FILTER atau tangki merawat menggunakan mikrobiologi.
FILTER atau tangki merawat menggunakan mikrobiologi.

"Eksperimen kami bukan saja terhadap tumbuhan berdaun seperti pudina, parsley dan bayam brazil malah ketika ini dperluaskan kepada tanaman bernilai tinggi seperti halia bara.

"Selain usahawan tani, saya juga pengamal perubatan holistik yang meningkatkan kualiti kesihatan dengan penggunaan herba
tradisi dan bebas bahan kimia.

"Penting untuk saya hasilkan produk pertanian berkualiti organik dan bebas kimia bagi menjamin kualiti kesihatan selain mengekalkan amalan lestari dalam ladang," katanya.

KAWASAN demonstrasi bagi sistem akuaponik Abdul Aziz.
KAWASAN demonstrasi bagi sistem akuaponik Abdul Aziz.

Dalam ladangnya itu, selain tanaman herba serta sayur-sayuran, sistem akuaponik yang sama turut mengeluarkan lebih 200 hingga 500 ekor ikan tilapia matang dalam tempoh tiga bulan.

Ketika ini pihaknya membangunkan plot pertanian dan penternakan bagi tujuan demonstrasi selain memperkenalkan teknologi itu kepada usahawan muda yang mahu menceburi pertanian moden.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:40 AM