TANAMAN berdaun ceria yang menzahirkan suasana landskap di depan rumah.
TANAMAN berdaun ceria yang menzahirkan suasana landskap di depan rumah.
Hartini Mohd Nawi


Aktiviti menanam dan mengindahkan landskap bagi mengisi kelapangan waktu bersama keluarga ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat begitu memanfaatkan.

Tidak kira apa jua jenis kediaman sama ada apartmen di bandar mahu pun kediaman desa, kebanyakannya tampil dengan idea landskap tersendiri dan sekurang-kurangnya menanam tanaman untuk dijadikan ramuan dalam masakan. Mudah bukan?

Terapi kendiri ini mempunyai pelbagai kelebihan bukan hanya mengeratkan hubungan keluarga, malah jiran tetangga apabila hasil tanaman turut dikongsi bersama.

Tampil mengulas situasi positif itu, pensyarah dari Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ts Dr Mohd Yazid Mohd Yunos mengakui orang Melayu dulu-dulu sudah mengamalkan gaya hidup sihat dan lestari di ruang landskap kediaman mereka.

"Ini kerana bagi masyarakat silam, setiap ruang di sekitar mereka adalah anugerah alam yang tidak ternilai. Susun atur landskap rumah Melayu zaman dahulu juga amat unik dan berkonsepkan kelestarian.

"Elemen landskap Melayu silam terdiri daripada laman hadapan, laman sisi dan laman belakang. Malah fungsi tanaman turut ditekankan dalam laman itu seperti makanan, ubat-ubatan, kosmetik, dekorasi dan teduhan," katanya.

Menurutnya, laman hadapan di tanam dengan pokok hiasan sebagai fungsi dekorasi seperti bunga kertas, pokok siantan, pokok puding dan buluh Cina.

Laman sisi ditanam pokok buah-buahan sebagai fungsi teduhan, makanan dan ubat-ubatan seperti pokok nangka, belim bing besi, betik, pisang, ciku, durian, kelapa, manggis, rambutan, jambu air, pokok ceri, sukun dan mempelam.

Begitu juga dengan laman belakang yang berteraskan makanan dan perubatan (herba) yang lebih dikenali sekarang ini sebagai laman dapur.

Kebiasaan tanaman yang didapati adalah seperti serai, lengkuas, limau purut, limau kasturi, limau nipis, daun kari, daun pandan, cili api, daun kesum, kecur, keladi, asam gelugur, asam jawa, sirih, jarum tujuh dan ubi kayu.

"Selain tanaman, terdapat satu komponen yang menyokong dalam pembentukan landskap Melayu silam iaitu perabot laman. Komponen ini membabitkan budaya hidup masyarakat Melayu dalam halaman rumah.

"Perabot laman itu antaranya pagar, gerbang, wakaf, tempayan, guri, kolah, pangkin, pasu bunga, pelantar, titi, perigi, kolam, perun, reban, bangsal dan jelapang.

"Keadaan ini dapat dilihat di sekitar kawasan kampung yang masih mempunyai elemen semula jadi di setiap ruang kediaman sebagai sokongan kehidupan di kawasan tempat tinggal," katanya.

POKOK pandan antara tanaman popular di kebanyakan kediaman.
POKOK pandan antara tanaman popular di kebanyakan kediaman.

Kata Dr Mohd Yazid, hubungan ini dapat dilihat dari segi kesesuaian fungsi tanaman dengan susunan ruang yang terdapat di kawasan rumah Melayu silam, menyebabkan mereka memanfaatkan sepenuhnya aktiviti keluarga, kejiranan dan waktu senggang di laman mereka sebagai terapi diri.

Dalam menyokong kenyataan itu, pensyarah Fakulti Teknikal dan Vokasional, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Ts Mohd Amirul Hussain juga berpendapat hasil tanaman berkenaan bukan sahaja untuk kegunaan sendiri malah turut diberi kepada ahli keluarga dan jiran bagi mengeratkan silaturahim.

"Ia sekali gus memberikan kepuasan dan ketenangan fikiran. Hakikatnya, amalan tradisi orang Melayu dahulu, bolehlah diamalkan pada normal baharu sekarang, di mana kita dapat menggunakan masa yang terluang dengan memakmurkan alam sekitar supaya kita tidak tertekan sepanjang musim pandemik.

"Antara amalan yang boleh dilakukan termasuk memanfaatkan sepenuhnya tanah atau ruang kediaman untuk menanam pelbagai jenis sayur-sayuran atau tumbuhan edibel yang boleh digunakan sebagai sumber makanan dan herba.

"Apatah lagi, sebelum ini kita tidak terfikir untuk menempah bahan mentah seperti sayur-sayuran dan sumber protein untuk masakan.

TANAMAN ini juga turut menjadi penyeri laman.
TANAMAN ini juga turut menjadi penyeri laman.

"Sekarang semua sumber itu boleh dibeli secara dalam talian. Ini akan memberikan impak positif kepada pemilik untuk memasarkan hasil tanaman mereka kepada umum," katanya.

Katanya, paling tidak ia menjadi sumber makanan untuk kelangsungan hidup. Kita dapat kekalkan amalan tradisi dengan memanfaatkan sepenuhnya ruang kediaman kita seperti tradisi Melayu silam yang berkonsepkan kelestarian dan mempunyai nilai terapi diri.

"Tiada istilah 'tangan panas atau tangan sejuk' untuk berkebun di laman atau balkoni kediaman, sebenarnya ia hanyalah sebuah mitos.

"Bagi yang berkeinginan, apa jua yang dilakukan hendaklah dengan ilmu dan panduan untuk merealisasikan laman ini di rumah," katanya.

Menurut Mohd Amirul lagi, jelaslah dalam amalan tradisi landskap Melayu silam, mereka suka apresiasi kehidupan dengan alam semulajadi dan persekitaran yang memerlukan antara satu sama lain.

Landskap Melayu silam adalah satu contoh landskap budaya yang terbaik untuk diamalkan pada era dan pasca pandemik ini sebagai amalan kelangsungan hidup dan terapi diri!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:40 AM