RUANG tamu perlu mampu memberi keselesaan kepada penghuni dan tetamu.
RUANG tamu perlu mampu memberi keselesaan kepada penghuni dan tetamu.
Muhamaad Razis Ismail


RUANG tamu adalah satu ruang yang penting kerana bukan sahaja menjadi tempat berkumpul untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama ahli keluarga malah berfungsi untuk menerima tetamu.

Oleh kerana kedudukan ruang tamu yang biasanya berada paling hadapan, ruangan ini memainkan peranan penting untuk memberi gambaran awal berkenaan keadaan keseluruhan di dalam sesebuah kediaman.

Justeru itu, menghias atau pengubahsuaian ruang tamu perlu dititik beratkan bukan sahaja untuk kelihatan cantik malah dapat memberi keselesaan dan ketenangan kepada penghuni dan tetamu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Laurea Home Furnishing, Siti Hawa Ismail berkata, ruang tamu amat penting untuk memberi kepuasan dan ketenangan kepada penghuninya.

Katanya, ramai yang beranggapan ruang tamu lebih cenderung dijadikan sebagai ruang untuk tetamu dan terlepas pandang dalam memenuhi keperluan pemilik kediaman.

"Tetamu hanya berkunjung ke kediaman untuk tempoh tertentu sahaja. Hakikatnya, pemilik kediaman dan penghuninya yang akan kerap menggunakan ruangan ini (ruang tamu) untuk melakukan aktiviti bersama keluarga.

"Selain itu, ruang tamu adalah tempat pertama yang akan kita lihat apabila selepas seharian penat bekerja di luar.

"Oleh itu, ruang tamu perlu dipastikan ditata hias dan diubah suai supaya dapat memberi keselesaan dan ketenangan kepada pemilik dan penghuninya," katanya.

Menurutnya, untuk menghias ruang tamu, perancangan teliti dan rapi perlu dilakukan sebelum kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.

"Perancangan ini termasuk daripada segi bajet, pemilihan konsep, pengukuran keluasan, pemilihan perabot dan sebagainya. Perkara paling asas yang perlu ada di ruang tamu adalah sofa, meja sisi, meja kopi dan karpet.

"Perkara ini perlu dititik beratkan untuk memastikan ruang tamu dapat memainkan fungsinya dalam memberi keselesaan. Pada masa sama, perancangan ini penting untuk mengelakkan sebarang pembaziran," katanya.

Beliau menasihatkan kepada pemilik kediaman supaya tidak terburu-buru dan mengikut nafsu dalam menghias kediaman.

"Perkara paling penting adalan buat perancangan yang teliti mengikut kesesuaian bajet dan kediaman untuk mendapatkan hiasan yang sempurna," katanya

Siti Hawa berkongsi beberapa panduan untuk menghias ruang tamu:

1. Perancangan bajet

Bajet adalah antara perkara awal yang perlu dipertimbangkan sebelum menghias ruang tamu. Melalui perancangan ini kita akan dapat menentukan kemampuan seseorang untuk menentukan konsep, pemilihan perabot dan sebagainya. Pada masa sama, perbelanjaan akan lebih terurus dan mengelakkan pembaziran

2. Tentukan konsep

Penentuan konsep daripada awal amat penting untuk mengelakkan ruang tamu menjadi caca- marba termasuk penggunaan pelbagai jenis perabot, pemilihan material, warna dan corak langsir yang tidak bersesuaian. Apabila konsep ditetapkan lebih awal, dekorasi boleh dilakukan dengan lebih mudah dan seimbang

3. Rancang keluasan

Keluasan ruang tamu perlu ditentukan supaya kita dapat membuat perancangan terhadap susun atur perabot, jenis perabot dan hiasan yang bersesuaian. Melalui perancangan ini, kita dapat memanfaatkan setiap ruang dengan baik. Tanpa perancangan yang teliti, ruang yang luas berisiko menjadi sempit dan ruangan yang kecil akan menjadi lebih sempit.

4. Susun atur

Susun atur perabot dan hiasan di ruang tamu perlu dirancang untuk memastikan ia dapat memberi keselesaan terutama kepada kepada pergerakan penghuni dan tetamu. Lakaran awal boleh dibuat di atas kertas untuk menentukan kedudukan setiap perabot dan hiasan.

5. Pemilihan warna

Warna memainkan peranan penting dan sangat berkait rapat dengan keluasan ruang. Untuk ruang tamu yang kecil, anda digalakkan warna yang cerah untuk nampak lebih luas. Untuk ruang tamu yang luas, anda mempunyai pilihan untuk menggunakan elemen warna bumi.

6. Gunakan khidmat pereka hiasan dalaman

Pereka hiasan dalaman (ID) mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam hiasan dalaman yang mengambil kira aspek menyeluruh bagi kesejahteraan hidup penghuni sesebuah kediaman. Khidmat ID juga adalah pelaburan yang bagus bagi memastikan keselesaan ruang kediaman yang optimum dan memberi kesan positif kepada kehidupan seisi keluarga. Pada masa sama dapat mengurangkan risiko pembaziran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 6:55 AM