PENGGUNAAN langsir yang tinggi ke siling memberi ilusi luas dan tinggi.
PENGGUNAAN langsir yang tinggi ke siling memberi ilusi luas dan tinggi.
Muhamaad Razis Ismail


KEDIAMAN yang luas antara kriteria diinginkan semua terutama kepada pembeli rumah pertama.

Rumah yang luas menjadi idaman supaya dapat memberi keselesaan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun, seperti yang diketahui umum keluasan turut mempengaruhi harga sesebuah rumah.

Namun, tidak salah untuk pembeli rumah pertama memiliki kediaman lebih sederhana atau kecil sesuai dengan bajet sedia ada.

Bagi ruang yang kecil nampaknya anda boleh 'bermain' dengan warna, jenis perabot dan sebagainya untuk tampil lebih luas.

Pereka hiasan dalaman yang juga pengasas AD Creative Studio, Marlia Ramli berkata, sebelum proses dekorasi dilakukan, pemilik perlu buat sedikit kajian.

"Ia penting untuk mengelakkan keluasan ruang yang terhad, menjadi semakin kecil.

"Apabila kita menghias rumah dengan betul, ia bukan sahaja mencantikkan ruang, malah dapat memberi keselesaan kepada pemiliknya," katanya.

Marlia berkongsi 10 panduan yang boleh digunakan untuk menata rumah yang sederhana dan kecil supaya nampak luas.

1) Penggunaan warna cat yang sesuai

Pemilihan warna cat yang lebih terang dan lembut seperti konsep warna putih atau pemilihan warna pastel memain peranan dalam keluasan ruang.

Penggunaan warna ini dapat memaksimumkan penggunaan pantulan cahaya.

Warna gelap lebih sesuai dijadikan warna titik fokus sahaja dan digunakan untuk ruang yang lebar dan berdinding banyak. Warna gelap menyerap cahaya menjadikan bilik kelihatan kecil.

2) bPenggunaan cermin besar dan mempunyai bentuk yang 'rigid'

Cermin lebih besar membantu memberi ilusi luas dan lebar kerana pantulan cahaya dari hadapan ruang memberi dimensi ruang seolah-olah terbahagi kepada dua bahagian.

Bentuk cermin yang pelbagai juga sedikit sebanyak membantu dalam menaik taraf karakter ilusi pada keluasan ruang.

3) Rekaan dekorasi dinding yang bercorak kecil atau garis melintang

Penggunaan rekaan dekorasi dinding seperti ini dapat memberi kesan kelebaran ruang.

Contohnya kertas dinding yang berbunga kecil atau rekaan garis halus sesuai untuk ruang kecil atau sederhana.

Ruang luas dan besar boleh memakai kertas dinding bercorak yang lebih besar dan memberi 'statement.' Ia akan memberi kesan yang lebih terperinci.

4) Membuat corak pembahagian ruang lantai

Pemilik boleh memilih menggunakan material yang sesuai antara satu sama lain.

Contohnya terdapat material berbeza di atas lantai seperti gabungan jubin dan 'laminate flooring.'

5)Rekaan tingkap dan pintu yang minimalis dan berpotongan lurus

Rekaan pintu yang tidak serabut, tetapi lebih ringkas atau minimalis sangat sesuai untuk ruang kecil.

Elakkan pintu berkerawang atau berbunga ukiran besar jika ruang kecil.

6) Mengamalkan konsep ruang terbuka

Pembahagi hanya sesuai diguna pakai untuk ruang yang besar dan luas. Untuk kediaman kecil, elakkan.

Permudahkan rekaan menjadi lebih praktikal.

7) Penggunaan langsir

Langsir yang tinggi sehingga bahagian siling dan warna putih memberi ilusi luas dan tinggi kepada kediaman kecil.

8) Mengurangkan penggunaan dekorasi secara berlebihan

Contohnya barang hiasan yang besar, berat dan berwarna gelap. Ia akan menampakkan ruang kecil menjadi lebih semak.

Sebaliknya memilih hiasan yang lebih ringan, menepati konsep dan praktikal.

9) Permainan warna pada perabot perlu ada kontra dan tidak berlebihan

Elakkan warna gelap yang banyak pada perabot, kekalkan pilihan warna tanah atau pastel yang lebih cerah.

10) Mewujudkan titik utama untuk menyeimbangkan keluasan ruang

Ruang hias keadaan keliling perlu minimum supaya

rekaan utama tadi menjadi subjek tumpuan mata yang melihat.

Bukan semua dinding perlu polos, ada sebahagian perlu dicalit rona supaya dapat memberi sedikit impak pada keseluruhan rekaan dalaman. Cuma penggunaan warna perlu lebih berhati-hati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 6:54 AM