RONA cerah akan menampakkan rumah lebih lapang dan luas.
RONA cerah akan menampakkan rumah lebih lapang dan luas.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


RUMAHKU syurgaku. Tidak kira kecil atau besar, ia bukanlah ukuran jika kita kreatif menghias dengan secantiknya.

Begitupun, rumah bersaiz kecil bukan lagi perkara asing bagi rakyat Malaysia. Dek kerana kos sara hidup yang tinggi terutama di kawasan bandar besar, ramai terpaksa menyewa atau membeli kediaman bersaiz kecil.

Namun, terdapat banyak cara untuk menghias rumah bersaiz kecil tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi.

Sama ada konsep dekorasi ringkas atau tema moden ala industrial, semuanya terpulang kepada anda.

Tepuk dada, tanya selera. Apa yang penting, dekorasi itu hendaklah memberi keselesaan kepada pemiliknya.

Sebagai panduan, berikut adalah lima tips penting untuk menghias kediaman bersaiz kecil.

PANTULAN cahaya daripada cermin bukan sahaja mencerahkan suasana malah menampakkan ruang lebih luas.
PANTULAN cahaya daripada cermin bukan sahaja mencerahkan suasana malah menampakkan ruang lebih luas.

1) Pilih warna yang tepat

Elakkan rona gelap sebaliknya gunakan warna yang lembut dan ringan seperti putih, beige, kelabu pucat serta biru lembut pada ruang utama seperti dapur atau ruang tamu.

Pemilihan rona cerah seperti itu secara tidak langsung akan menampakkan rumah lebih lapang dan luas.

Juga diingatkan supaya jangan gunakan terlalu banyak warna berlainan kerana ia boleh menjejaskan keserian ruang di kediaman.

2) Pilih perabot pelbagai fungsi

Jika memiliki kediaman bersaiz kecil, anda perlu bijak memilih perabot yang sesuai.

Usah membeli terlalu banyak perabot sebaliknya pilih yang mempunyai pelbagai fungsi.

Contohnya, katil sofa yang sesuai untuk kediaman jenis pangsapuri studio.

Katil sofa yang boleh dilipat itu boleh diguna sebagai sofa pada sebelah siang dan pada malamnya, ia boleh dibuka menjadi katil tidur yang selesa.

Kerusi storan (storage bench) juga boleh diletak di ruang tamu, ia berfungsi sebagai tempat duduk dan pada masa sama, boleh menyimpan barangan di dalamnya.

Perabot dwi fungsi seperti itu sangat praktikal dan jimat dari segi ruang dan wang.

JIKA  memilih pangsapuri jenis studio yang tidak mempunyai bilik tidur khusus, jangan lupa membeli pembahagi ruang.
JIKA memilih pangsapuri jenis studio yang tidak mempunyai bilik tidur khusus, jangan lupa membeli pembahagi ruang.

3)Guna konsep pantulan

Selain bermain dengan warna untuk kediaman yang lebih cerah dan luas, anda juga boleh menggunakan konsep pantulan.

Salah satu caranya adalah dengan memasang cermin.

Pantulan cahaya daripada cermin bukan sahaja mencerahkan suasana malah menampakkan ruang lebih luas.

4) Guna pembahagi ruang

Jika anda memilih pangsapuri jenis studio yang tidak mempunyai bilik tidur khusus, jangan lupa membeli pembahagi ruang

Andai memiliki bajet lebih, pilihlah pembahagi ruang jenis kaca sebab ia

tak menghalang laluan cahaya dan pada masa sama memberikan hasil yang elegan dan ekslusif.

Selain itu, rak buku yang tinggi pula boleh menjadi pembahagi ruang, ia sememangnya praktikal kerana anda akan memiliki ruang simpanan dan tempat meletakkan hiasan.

Penggunaan langsir atau 'floating art' juga dapat membahagi ruang tanpa perlu berhabis duit yang banyak.

Pemasangannya pula fleksibel dan mudah mengikut kreativiti anda.

5) Sediakan ruang simpanan

Ruang simpanan antara elemen penting dalam sesebuah kediaman namun bagaimana pula dengan rumah bersaiz kecil?

Maksimumkan penggunaan ruang simpanan yang ada dan anda perlu lebih kreatif dalam menyusun untuk menyimpan barang.

Paling mustahak, jangan kumpul dan buang segera barangan yang sudah rosak kerana ia dapat membantu menjimatkan ruang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 6:45 AM