PEMILIK rumah tidak harus biarkan halaman kosong tanpa sebarang penataan.
PEMILIK rumah tidak harus biarkan halaman kosong tanpa sebarang penataan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

 

 

JIKA kediaman memiliki halaman, jangan biarkan ia kosong tanpa penataan. 

Halaman yang dihias indah bukan sahaja dapat memberikan ketenangan kepada pemilik malah menarik tumpuan sesiapa jua yang bertandang.

Selain tanaman pokok bunga, terdapat banyak hiasan lain yang boleh digunakan untuk menyerikan lagi halaman rumah. 

Antaranya, gazebo atau turut dikenali sebagai wakaf adalah antara pilihan ramai pemilik kediaman untuk menghiasi halaman rumah mereka.

Meskipun harga sebuah gazebo mahal, permintaannya sentiasa ada dan mempunyai peminat tersendiri kerana ia kaya dengan elemen warisan seni kayu tradisional.

Selain itu, gazebo juga memiliki pelbagai fungsi seperti tempat untuk berehat dan bersantai bersama seisi keluarga, memberikan teduhan serta menyerikan lagi ruang halaman.

Pereka Dalaman, Farah Najiha Mohamad Yahya berkata, gazebo atau wakaf juga dapat membantu mencantikkan lagi ruang kosong di halaman rumah.

GAZEBO dapat membantu mencantikkan lagi ruang kosong di halaman rumah.
GAZEBO dapat membantu mencantikkan lagi ruang kosong di halaman rumah.

Begitupun, katanya, terdapat beberapa panduan bagi pemilik kediaman jika mahu memiliki gazebo untuk ruang di halaman rumah.

Antara yang perlu diambil perhatian adalah aspek pemilihan kayu untuk membuat gazebo.

"Jika mempunyai bajet, pilihlah gazebo yang diperbuat daripada kayu jati kerana ia lebih tahan panas, kuat dan tahan lama. 

MEMILIKI pelbagai fungsi seperti tempat untuk berehat dan bersantai bersama seisi keluarga, memberikan teduhan serta menyerikan lagi ruang halaman.
MEMILIKI pelbagai fungsi seperti tempat untuk berehat dan bersantai bersama seisi keluarga, memberikan teduhan serta menyerikan lagi ruang halaman.

"Selain itu, kayu merbau juga sesuai kerana ia tahan lama, tahan panas dan hujan. 

"Pilihan yang lebih berpatutan harganya adalah kayu kelapa yang juga memiliki ciri-ciri tahan panas dan hujan, sesuai dengan cuaca di negara ini," katanya. 

Menurut Farah Najiha, saiz gazebo juga perlu diambil kira dan perlu disesuaikan dengan keluasan halaman rumah. 

KAWASAN sekitar gazebo juga boleh dicantikkan lagi dengan tanaman pokok yang sesuai atau kolam ikan kecil.
KAWASAN sekitar gazebo juga boleh dicantikkan lagi dengan tanaman pokok yang sesuai atau kolam ikan kecil.

Katanya, jika memiliki halaman yang luas, saiz gazebo biasanya tidak menjadi masalah. 

"Namun jika ruang halaman adalah terhad, pilih ukuran yang sesuai kerana ia tidak boleh terlalu besar atau terlalu kecil. 

"Untuk kedudukan pula, biasanya gazebo diletakkan di kawasan kosong tepi rumah, halaman hadapan atau di kebun bunga.

RUANG gazebo pada laman rumah turut sesuai dijadikan lokasi bergambar bersama keluarga.
RUANG gazebo pada laman rumah turut sesuai dijadikan lokasi bergambar bersama keluarga.

"Ia bergantung juga kepada rekaan kediaman itu sendiri," katanya. 

Jelas Farah Najiha lagi, kebanyakan reka bentuk gazebo bercirikan ukiran Melayu tradisional kerana material yang digunakan adalah berasaskan kayu. 

Ia memberi sentuhan klasik dan menyerlahkan ciri yang tersendiri. 

"Untuk menyerlahkan lagi fungsinya, hiasan seperti lampu, bunga yang digantung atau perabot yang sesuai juga boleh diletakkan di dalam gazebo.

"Selain itu, kawasan sekitar gazebo juga boleh dicantikkan lagi dengan tanaman pokok yang sesuai atau kolam ikan kecil," katanya

Apapun, alah membeli, menang memakai.

Tidak salah berhabis wang ringgit untuk mendapatkan gazebo yang berkualiti tinggi dan tahan lama. 

Dengan adanya gazebo, anda bukan sahaja dapat berehat dan bersantai minum petang bersama keluarga malah dapat berteduh sambil menghirup udara luar yang nyaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 6:20 AM